Kurta kikis dominasi baju Melayu

 Kurta kikis dominasi baju Melayu

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Fenomena memakai kurta pada Hari Raya Aidiltri di kalangan orang Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin ketara dan memberi impak besar kepada jualan serta kelangsungan tradisi baju Melayu di negara ini.

Pakaian yang berasal dari negara-negara Asia Selatan seperti Bangladesh, India, Pakistan dan Nepal itu menjadi pilihan orang Melayu kini kerana rekaan dan cara pemakaiannya yang ringkas serta selesa.

Tinjauan Wacana.my di Bazar Aidilfitri Jalan TAR di sini, mendapati kebanyakan pembeli lebih banyak meminati kurta kerana ianya boleh digayakan dengan pelbagai cara dalam apa sahaja majlis.

peniaga Siti Maisyarah Muhamad, kebanyakan pembeli lebih meminati kurta kerana ianya mudah untuk digayakan dengan beberapa pilihan seluar serta boleh dipakai untuk pelbagai acara

Menurut peniaga Siti Maisyarah Muhamad, sejak dibenarkan beroperasi pada 17 April lalu, jualan baju Melayu yang tidak selaris dahulu hingga menyebabkan peniaga risau dengan jualan sekarang.

“Jika diikutkan, fenomena kurta ini sudah bermula beberapa tahun lalu, dan ianya telah menyebabkan jualan baju Melayu merosot sedikit demi sedikit.

“Selain itu, kurta tidak perlu dipakai dengan sampin selain mempunyai butang yang dijahit sekali. Ini lebih menjimatkan duit berbanding membeli baju Melayu,” katanya.

Sementara itu, menurut peniaga kurta Ruziatul Airani, pelanggannya lebih meminati kurta berbanding baju Melayu kerana ianya nampak lebih kasual dan mempunyai reka bentuk yang menarik.

“Kurta boleh didapati dalam pelbagai variasi dan warna selain reka bentuk yang moden dan tradisional. Varian yang berlainan ini termasuk saiz dan panjang kurta.

“Kebanyakan pelanggan lebih gemar dengan kurta kerana ia mempunyai poket yang tersembunyi di bahagian sisi, bukan seperti baju Melayu yang menampakkan poket yang banyak,” katanya.

Sementara itu, pengunjung bazar Aidilfitri, Aniq Ariff Abd Rahim, 26, lebih meminati kurta kerana ia lebih murah berbanding baju Melayu.

“Kebanyakan harga baju Melayu mahal kerana ianya didatangi sekali dengan seluar. Selain itu, kebanyakan baju Melayu juga tidak dilengkapi dengan butang menyebabkan saya terpaksa mengeluarkan duit lebih,” katanya.

Peniaga risau jualan semasa PKP

Walaupun dibenarkan untuk beroperasi, kalangan peniaga di Bazar Ramadan Jalan TAR di sini, masih lagi risau kerana berdepan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selain jumlah pelanggan yang merosot akibat tidak boleh balik kampung atau merentas negeri.

Menurut Siti Maisyarah, kekurangan pelanggan ini bukan sahaja memberi kesan kepada beliau, malah semua peniaga yang ingin mencari rezeki tambahan untuk Aidilfitiri ini.

“Apa yang merisaukan adalah sewa tapak sahaja boleh mencecah sehingga RM10,000. Itu belum termasuk kos-kos lain seperti pengangkutan dan gaji pekerja.

“Sebelum dilanda COVID-19, saya mampu meraih RM30,000 sehari dengan menjual beribu-ribu helai baju, kini nak jual 100 helai sehari pun tidak dapat,” katanya.

Sementara itu, Ruziatul Airani berkata kebanyakan pelanggan sebenar Bazar Aidilfitri adalah mereka yang berada di luar Selangor dan Kuala Lumpur (KL).

“Jika diperhatikan tahun-tahun sebelum ini, kebanyakan pelanggan bazar ini adalah yang berasal dari Pantai Timur, utara serta selatan. Kebanyakan daripada mereka akan datang membeli-belah di Kuala Lumpur sebelum pulang.

“Kini, disebabkan tidak boleh merentas negeri, nak jual 50 helai sehari pun tidak boleh. Kekurangan pelanggan menyebabkan saya sendiri terpaksa menjaga kedai dan tidak berani untuk mengambil pekerja,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

66  +    =  70