Kurang ilmu simpanan punca tiada simpanan

 Kurang ilmu simpanan punca tiada simpanan

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Penutupan sektor ekonomi oleh gabungan pandemik COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) telah memberikan kesan yang besar kepada hidup rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40.

Selepas setahun berlalu dengan PKP yang kini di siri ketiga, ramai di antara golongan yang dibuang kerja ataupun gajinya ditolak majikan ini terpaksa menagih simpati dan bantuan kerajaan demi meneruskan kehidupan kerana kehabisan wang simpanan.

Namun, masalah kekurangan wang simpanan ini bukannya baru bermula semasa zaman pandemik, tetapi telah berlaku sejak sebelum wujudnya COVID-19 di negara ini.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM), 75 peratus daripada rakyat Malaysia hanya mempunyai simpanan bawah RM1,000 sejak sebelum negara dilanda COVID-19. Ditambah pula dengan bebanan hutang serta sewa rumah, golongan ini adalah antara yang paling terkesan akibat wabak itu.

Sementara itu, menurut laporan dari Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), dua daripada 10 rakyat Malaysia tidak mempunyai tabung simpanan kecemasan kerana tidak mempunyai ilmu dalam perancangan kewangan, khususnya dana kecemasan.

“Kebanyakan daripada rakyat hanya mempunyai dana kecemasan jangka pendek untuk kegunaan akhir bulan apabila gaji mereka belum masuk. Mereka cenderung untuk menggunakannya sedikit sebagai ‘advance’,” kata laporan berkenaan.

“Terdapat beberapa sebab mengapa rakyat gagal membina tabung simpanan termasuk kekurangan pengetahuan dan kemahiran dalam perancangan kewangan, punca pendapatan yang terhad, inflasi dan tabiat perbelanjaan.

“Disebabkan inflasi, RM50 adalah nilai yang berbeza jika dibanding dulu dan sekarang. E-commerce juga mengubah tabiat membeli kita. Orang cenderung menghabiskan lebih banyak perbelanjaan di platform e-commerce.”

Sementara itu, Aiezatt Ahmad, 35, berkata kekurangan ilmu mengenai simpanan menjadi punca kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan yang cukup.

“Kebanyakan daripada rakyat Malaysia tidak betul-betul merancang kewangan mereka sekali gus menjadi salah satu punca mengapa mereka ini tiada simpanan. Mungkin kekurangan ilmu, perkara ini perlu belajar dan diajar supaya tidak menyesal di kemudian hari,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau yang bekerja sebagai penasihat insurans dan pengurusan kewangan AIA turut berkata majoriti rakyat Malaysia tidak meletakkan had kepada perbelanjaan mereka.

“Jika diikutkan, 60 peratus daripada gaji bulanan harus digunakan pada perbelanjaan, manakala 20 peratus kepada simpanan; 10 peratus ke insurans; 10 peratus kepada pelaburan.

“Rakyat Malaysia harus perbanyakkan melabur tidak kira dalam kripto ataupun saham kerana ia mampu memberi manfaat kepada kita pada masa akan datang,” katanya, sambil menambah, di zaman ekonomi yang susah ini, setiap rakyat harus mengurus kewangan mereka dengan bijak selain menyediakan sebuah akaun simpanan untuk digunakan semasa kecemasan pada masa akan datang.

Apakah penyelesaian bagi masalah yang sudah lama dihadapi rakyat Malaysia ini? Bantuan, moratorium, diskaun dan stimulus ekonomi daripada kerajaan mungkin dapat meringankan sedikit beban mereka yang terkesan, namun apakah cara untuk mengubah nasib mereka untuk jangka masa yang panjang?

Sama ada jawapannya adalah kesedaran, ilmu pengetahuan, perubahan sikap ataupun menerusi polisi, Wacana.my akan terus mengupas isu ini dalam laporan seterusnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

21  −    =  19