Kubur 170 tahun akan lenyap, waris minta dipindahkan segera

 Kubur 170 tahun akan lenyap, waris minta dipindahkan segera

Oleh AMIR HAMZAH NORDIN

LIPIS : Tanah perkuburan lama berusia 170 tahun di Kampung Tanjung Betong berdekatan Kampung Kuala Telang kini diancam runtuhan tebing Sungai Jelai berikutan bencana banjir pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini.

Kubur itu dikaitkan dengan perwira Melayu dan penduduk Tanjung Betong yang meninggal dunia ketika terlibat dengan Perang Saudara di Pahang sekitar tahun 1857 hingga 1863, berasaskan buku ‘A History of Pahang’ tulisan W. Linehan, bekas Pengarah Pendidikan Negeri-Negeri Selat.

Mohd Farid meninjau tebing Sungai Jelai runtuh dalam kejadian banjir dan dihanyutkan air sungai deras

Ketua Pemuda UMNO Lipis yang juga penduduk Kuala Telang, Mohd Farid Mohd Nor berkata, berasaskan catatan W. Linehan, Kampung Tanjung Betong telah dihuni oleh penduduk pada 1800-an atau sebelumnya dengan membina penempatan di pesisir Sungai Jelai serta wujud kegiatan perniagaan apabila menjadi persinggahan pedagang luar.

“Tanah perkuburan itu merupakan sebuah penempatan lama dan bersejarah yang sudah tidak didiami penduduk di bawah pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Telang dan Masjid Kampung Kuala Telang kini diancam runtuhan tebing.

“Baru-baru ini lebih 10 buah kubur di tebing sungai tersebut dihanyutkan bersama runtuhan tebing sekiranya musim hujan dan paras air sungai yang deras berulang,” katanya ketika meninjau kawasan perkuburan itu hari ini.

Katanya, akibat hakisan banjir baru-baru ini ada beberapa batang batu nisan lama sudah tercabut dan patah serta hilang dibawa arus Sungai Jelai.

“Kini, kampung ini tidak lagi didiami penduduk kerana telah berpindah ke tempat baharu di Kampung Kuala Telang, bandar Kuala Lipis dan kawasan berdekatan pada awal 80-an berikutan lokasi ini sering sering diancam banjir.

“Selepas pemindahan tahun berkenaan, sekiranya berlaku kematian ahli keluarga masing-masing, penduduk Kampung Telang dan berdekatan mempunyai dua pilihan untuk mengebumikan jenazah samada di tanah perkuburan Kampung Berala dan Kampung Ijok,” katanya.

Katanya, sebahagian waris penduduk yang dimakamkan di situ masih dapat dihubungi, manakala kebanyakannya ahli keluarga atau waris sudah tidak dapat dikenalpasti kerana sudah berpindah ke tempat lain termasuk generasi hari ini tidak tahu berkenaan sejarah tanah perkuburan lama tersebut.

Sementara Pengerusi JKKK Kuala Telang, Satmi Othman, berkata jawatankuasa pengurusan kampung dan masjid akan merujuk JAIP menerusi Pejabat Kadi Lipis mengenai kaedah pemindahan kubur lama di situ kerana hakisan tebing sungai semakin teruk selepas banjir baru-baru ini.

“Kita mempunyai tapak (tanah) perkuburan Kampung Berala dan Kampung Ijok berdekatan Kampung Kuala Telang antara alternatif untuk memindahkan makam lama berkenaan sekiranya mendapat persetujuan pihak JAIP dan waris berkenaan,” katanya.

Tambahnya, memang sewajarnya dilakukan pemindahan segera kerana kerana kawasan Tanjung Betong yang sudah tidak didiami penduduk kerap dilimpahi air Sungai Jelai malahan hakisan tebing semakin teruk termasuk perkuburan lama itu.

Amir Hamzah Nordin

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  47  =  50