• Sunday, 20 June 2021, 8:08 am

Mahasiswa teruskan pembelajaran dalam talian ketika PKP

 Mahasiswa teruskan pembelajaran dalam talian ketika PKP

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Mahasiswa boleh meneruskan pembelajaran secara dalam talian tanpa perlu ke kampus jika tidak keperluan untuk berbuat demikian.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara yang diadakan pada 11 Mei lalu telah menetapkan, semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12 Mei hingga 7 Jun depan.

Dalam satu kenyataan, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Noraini Ahmad berkata,  semua aktiviti PdP secara bersemuka adalah tidak dibenarkan kecuali kepada enam kategori pelajar yang berkeperluan.

“Peperiksaan antarabangsa, badan profesional dan aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal di IPT juga dibenarkan mengikut SOP IPT berkenaan,” katanya.

Menurut Noraini, pelajar IPT  yang pulang sempena cuti Hari Raya Aidilfitri dibenarkan kembali semula ke kampus berdasarkan tarikh dan SOP yang telah diumumkan dengan menggunakan surat kebenaran pergerakan bagi merentas negeri atau daerah dari IPT masing-masing.

“Pergerakan pensyarah atau tenaga pengajar bagi tujuan PdP juga dibenarkan dengan pengesahan daripada KPT atau IPT berkaitan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, kementerian itu tiada arahan yang jelas atau memberi arahan yang separuh masak berkaitan cuti atau tarikh balik semula ke kampus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

“Mujurlah beberapa persatuan mahasiswa membantu mahasiswa baharu dan keluarga mereka,” dakwa beliau lagi.

Menurut Nazmi lagi KPT harus melihat secara kritikal impak terhadap keputusan-keputusan yang akan diambil, terutamanya jika ia dibuat pada saat-saat akhir.

Dakwa beliau lagi, kali ini KPT membenarkan pelajar universiti pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri, dan mengakibatkan ada mahasiswa disuruh pulang ketika mereka mahu kembali semula ke kampus akibat kawasan universiti terlibat dengan PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Namun dengan kes COVID-19 yang semakin meningkat, ibubapa dan pelajar mula resah jika PKP menyeluruh dikenakan semula dan pelajar diarahkan pulang hari yang sama mereka tiba di kampus, katanya.

Sementara itu, jurucakap KPT memberitahu Wacana.my, arahan KPT kepada semua universiti adalah jelas dan tidak timbul isu pelajar membazir masa dan kos untuk pulang ke kampus.

“Pelajar boleh berbincang dengan pensyarah masing-masing dan merancang jadual akademik mengikut keperluan mereka. Sepatutnya mereka tidak perlu ke kampus jika tiada keperluan kerana pembelajaran diadakan secara dalam talian kecuali mereka bermasalah mendapatkan liputan internet,” katanya.

KPT ingin menasihati pelajar supaya sentiasa mematuhi SOP atau arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *