KPLB salur peruntukan tambahan RM38 juta baiki infrastruktur di Yan, Merbok

 KPLB salur peruntukan tambahan RM38 juta baiki infrastruktur di Yan, Merbok

YAN, 6 Sept — Sebanyak RM38 juta peruntukan tambahan disalurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi memperbaiki infrastruktur yang rosak teruk akibat bencana banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di sini dan Merbok dekat sini, 18 Ogos lepas.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebahagian besar peruntukan iaitu RM35 juta akan digunakan untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Tupah di Merbok bagi menyediakan akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 buah rumah penduduk yang terjejas di kawasan itu.

“(Selain itu) sebanyak RM1 juta akan digunakan untuk pembinaan rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) ataupun rumah yang rosak, RM355,000 untuk kerja-kerja baik pulih jalan kampung dan RM500,000 diperuntukkan di bawah program ameniti sosial termasuk membaik pulih titi dan jambatan.

“Sebanyak RM1 juta pula untuk bekalan air alternatif dan RM145,000 untuk membaik pulih empat premis taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Yan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di lokasi terjejas banjir di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian memutuskan untuk menambah peruntukan itu dengan kadar segera bagi membolehkan pelbagai infrastruktur dibaiki secepat mungkin demi memastikan anggota ‘Keluarga Malaysia’ yang terkesan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak akibat bencana itu pula sedang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA). KEDA telah melantik kontraktor dan kerja-kerja pembaikan rumah-rumah yang dikenal pasti itu sedang dibuat,” katanya yang memaklumkan sebanyak 35 rumah penduduk yang rosak teruk telah dikenal pasti.

Pada 23 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM75 juta menerusi pelbagai kementerian dan agensi bagi memperbaiki segala kemudahan awam dan infrastruktur yang terjejas di Yan dan Merbok.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

19  +    =  28