• Friday, 18 June 2021, 12:44 am

KPDNHEP nafi berlaku pembelian panik

 KPDNHEP nafi berlaku pembelian panik

Azman meninjau bekalan barangan dan pematuhan SOP di sebuah pasar raya di Johor Bahru, semalam.

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 30 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan berlaku pembelian panik berikutan pengumuman ‘total lockdown’ seperti foto yang tular dalam media sosial ketika ini.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, situasi berkenaan tidak benar dan tidak berlaku pembelian panik.

Pada masa sama, tiada kenaikan harga dan bekalan juga mencukupi untuk tempoh tersebut.

Jelasnya, itu adalah keadaan sebenar ketika ini dan bukan seperti beberapa gambar yang tular dalam media sosial memaparkan pelanggan beratur membeli barangan keperluan di beberapa buah pasar raya di seluruh negara termasuk di negeri ini.

“Situasi pelanggan beratur panjang di pasar raya itu berdasarkan hasil laporan yang diterima pada hari ini disebabkan pasar raya mengehadkan bilangan pelanggan dalam sesuatu masa selain cuti hujung minggu,” katanya selepas melakukan tinjauan di beberapa pasar raya di sekitar daerah ini hari ini bersama Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa ini hingga 14 Jun ini.

Hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan yang perlu dibenarkan beroperasi yang akan disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Azman berharap, pengalaman dilalui masyarakat semasa menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 dan 2 menjadikan mereka lebih bersedia sehingga tidak melakukan pembelian panik.

Katanya, pengguna perlu mengelak daripada melakukan pembelian panik dan membeli barang berlebihan kerana dibimbangi akan menyebabkan kehabisan stok dan menyusahkan pengguna lain.

“KPDNHEP memberi jaminan bekalan barang keperluan asas mencukupi dan berada dalam tahap stabil. Selain itu, peniaga dan pengguna perlu memastikan mereka patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Pihaknya sentiasa memantau rantaian pembekalan barangan di peringkat pengilang, peladang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan cukup.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *