KPDNHEP Johor keluar 26 kompaun berjumlah RM129,500

 KPDNHEP Johor keluar 26 kompaun berjumlah RM129,500

Mohd. Hanizam (tengah) dan 10 anggota KPDNHEP Johor melakukan pemeriksaan dan pemantauan SOP di pusat beli-belah Midvalley Megamall Southkey, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memeriksa 65,036 premis dalam sektor peruncitan, pemborongan dan pengilang di seluruh negeri sejak Mei tahun lalu hingga semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Johor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, sepanjang tempoh itu 26 kompaun dikenakan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan melibatkan jumlah RM129,500.

“Selaras pengumuman pembukaan beberapa subsektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi mulai 20 Ogos lalu di beberapa negeri dalam Fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kita menjalankan Ops Samar.

“KPDNHEP Johor menggerakkan semua anggota penguat kuasa di seluruh daerah menerusi Ops Samar, iaitu pendekatan pemeriksaan secara berpakaian preman dan menyamar sebagai pelanggan.

“Ini pemeriksaan secara harian bagi memantau pematuhan SOP PPN dalam kalangan peniaga dan pelanggan supaya pembukaan sektor tambahan ini tidak menjadi penyumbang kepada penularan semula pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pihaknya komited dalam usaha memerangi COVID-19 dengan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP di bawah Akta 342.

Selain itu, pemeriksaan harian terhadap bekalan barang–barang keperluan asas juga diteruskan bagi memastikannya sentiasa mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.

Rindakan tegas akan diambil dengan mengeluarkan kompaun sehingga RM10,000 secara serta-merta terhadap ketidakpatuhan SOP PPN tanpa kompromi sebagai langkah pencegahan.

“Kompaun adalah untuk memastikan peniaga dan pengguna serius mematuhi SOP sepenuhnya demi keselamatan serta kesihatan rakyat sepanjang negara menghadapi cabaran pandemik COVID-19,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  7