KPDNHEP ingatkan peniaga luar bandar patuhi etika perniagaan

 KPDNHEP ingatkan peniaga luar bandar patuhi etika perniagaan

RAUB, 30 Januari 2022 – Peniaga di kawasan luar bandar diingatkan jangan abaikan etika perniagaan dan sesuka hati menaikkan harga barangan yang dikawal kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan mengejut.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, pemeriksaan mengejut bukan sahaja dilakukan di kawasan bandar malah turut diperluaskan ke kawasan luar bandar yang melibatkan pelbagai jenis premis perniagaan.

Katanya, pada tahun 2019, sebanyak 12,221 premis telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu sebanyak 1,554 premis (13%) diperiksa adalah di kawasan luar bandar.

“Pada tahun 2020 pula, sebanyak 692,906 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 136,922 premis (20%) terletak di luar bandar.

“Pada tahun 2021 pula sebanyak 865,086 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu 148,430 (17%) premis berada di kawasan luar bandar dan sehingga 28 Januari 2022, sebanyak 80,465 pemeriksaan telah direkodkan di seluruh negara dan daripada itu, sebanyak 12,834 premis (19%) adalah di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pemeriksaan dan pemantauan khas di kawasan Ulu Sungai dan kawasan Cheroh di daerah Raub, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan didapati tahap pematuhan oleh peniaga adalah sangat baik, kedudukan bekalan barangan dan keperluan harian juga didapati stabil dan mencukupi bagi menghadapi perayaan Tahun Baru Cina minggu ini.

“Pihak kami (KPDNHEP) menyedari kawasan luar bandar juga perlu diberikan keutamaan di dalam melakukan pemantauan terutamanya bagi memastikan masyarakat luar bandar juga dapat menikmati bekalan keperluan asas dan sebagainya pada harga yang munasabah dan mudah diperolehi.

“Penguatkuasaan dan pemantauan berterusan di kawasan luar bandar ini juga amat penting bagi memastikan peniaga di kawasan luar bandar turut mematuhi semua perundangan yang telah dikuatkuasakan oleh pihak kementerian,” katanya.

Beliau menggalakkan masyarakat di luar bandar untuk menyalurkan maklumat dan membuat aduan sekiranya berlaku gangguan bekalan keperluan asas dan menjalankan aktiviti tidak beretika perniagaan mereka di kawasan masing-masing.

Pengguna boleh menyalurkan maklumat berhubung salah laku oleh peniaga kepada pihak KPDNHEP melalui saluran berikut: Whats App 019-279 4317; Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 dan Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC), 03-8882 6088/6245.-Ends

Amir Hamzah Nordin

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  3