KPDNHEP akan kemuka permohonan ‘dine-in’

 KPDNHEP akan kemuka permohonan ‘dine-in’

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 6 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan permohonan aktiviti makan dalam kawasan premis jualan makanan atau ‘dine-in’ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata permohonan akan dikemukakan kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, permohonan itu dibuat bagi membela peniaga, pekerja, pembekal serta pemborong  dalam industri makanan.

Dine-in dapat membantu memulihkan ekonomi dan kehidupan mereka yang terlibat dalam industri makanan termasuk pembekal barangan dan bahan mentah,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, pemilik premis dan trak makanan berjanji kepada KPDNHEP akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN jika ianya dibenarkan.

Rosol juga berkata, KPDNHEP akan membuat permohonan supaya premis penjualan pakaian diberikan kebenaran untuk beroperasi sepanjang PKP bagi memastikan kelangsungan hidup peniaga dan pekerja.

“Permohonan ini dibuat bagi memastikan kelangsungan hidup peniaga dan pekerja terutama pada musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam beberapa bulan lagi.

“Walaupun kita semua dalam dilema antara kesihatan dan ekonomi, kebanyakan kluster yang baharu berlaku di kawasan tapak binaan. Kawasan perniagaan seperti restoran dan kedai makan, pasar malam dan premis jual pakaian tiada lagi kluster. Jadi, kita harap MKN dapat pertimbangkan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  85  =  95