Kota Kinabalu diasaskan di bawah pokok kelapa?

 Kota Kinabalu diasaskan di bawah pokok kelapa?

Lintasan Deasoka adalah tapak asal Deasoka iaitu nama pertama Kota Kinabalu.- Gambar Mohd Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU, 29 Jun – Mungkin sukar dipercayai Bandaraya Kota Kinabalu yang dulu gah dengan nama Jesselton diasaskan di bawah pokok kelapa oleh pemimpin dan masyarakat Bajau sekitar tahun 1880.

Sebab itulah nama lama bandar raya itu adalah `Diah Sukah’ yang kemudian dieja `Deasoka’, bahasa Bajau yang bermaksud `di bawah pokok kelapa’.

Mengikut catatan Sejarah Awal Kota Kinabalu yang termuat dalam laman web Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), masyarakat Bajau menggunakan nama berkenaan untuk merujuk sebuah desa di bahagian selatan kota yang dipenuhi pohon kelapa.

Di bawah pokok kelapa atau dalam bahasa Bajau `Deasoka’ nama asal Kota Kinabalu.- Gambar Mohd Azrone Sarabatin

Pemimpin dan masyarakat Bajau yang menetap di kawasan berkenaan dan sekitarnya kemudian bermesyuarat atau dalam bahasa etnik itu `upakat’ dan kemudian sepakat menamakan kawasan berkenaan `Diah Sukah’.

Ejaan Deasoka muncul ketika kawasan itu dibangunkan untuk kawasan pameran, jualan dan pelancongan oleh DBKK menerusi pembinaan Lintasan Deasoka berhampiran Tugu Peringatan Malaysia di pusat bandar raya Kota Kinabalu.

Tugu Peringatan Malaysia dibina pada 16 September 1963 untuk memperingati pembentukan Malaysia dan lokasi berkenaan dikatakan lokasi asal Deasoka, kawasan terawal bandar raya Kota Kinabalu.

Dari bawah pokok kelapa bandaraya itu kemudian berkembang ke kawasan Singgah Mata yang sekarang sebahagian daripada Asia City di tengah bandar raya Kota Kinabalu.

Ahli Arkeologi yang juga penulis sejarah Sabah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Baszley Bee Basrah Bee mengakui Deasoka adalah nama awal Kota Kinabalu.

Deasoka ketika itu adalah kawasan landai menganjur dari Padang Merdeka ke Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah sehingga ke Tamu Jalan Gaya berhampiran Lintasan Deasoka.
“Kawasan Deasoka mencakupi kaki Bukit Bendera ke Bandaran Berjaya, Dewan Masyarakat Kota Kinabalu sehinggalah ke Tamu Jalan Gaya pada masa sekarang,” katanya.

Tugu Peringatan Malaysia di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu.- Gambar Mohd Azrone Sarabatin

Berhubung Singgah Mata atau dalam bahasa Bajau “tungan moto jaip’ nama berkenaan dikatakan diperkenalkan masyarakat Bajau dari Pulau Gaya yang hanya mengambil masa 10 minit menggunakan bot dari Kota Kinabalu yang merujuk sebidang tanah yang sangat indah dipandang.

Sebab itulah dinamakan `Singgah Mata’ kerana mereka yang melihat tempat itu pasti terpegun dan mata seolah-olah `singgah’ di situ kerana terpesona dengan pemandangannya.

Sebelum membuka Deasoka, lebih awal dari itu, masyarakat Bajau membuka beberapa kawasan sekitar ibu negeri seperti Tanjung Aru, Sembulan dan Karamunsing.

Komuniti berkenaan juga membuka Api-Api yang ketika ini kawasan itu adalah sebahagian Karamunsing, selain Pulau Gaya atau dalam bahasa Bajau disebut `Pulau Goyo’.

Tanjung Aru yang yang terkenal dengan pantai indah dan antara diminati pelancong domestik dan antarabangsa di pinggir bandaraya Kota Kinabalu, sebelum era kolonial dipenuhi pokok ru di sepanjang pantai dan tanjung.

Tanjung Aru berasal daripada bahasa Bajau, iaitu Torong Guh. Torong adalah kawasan paling hujung atau tanjung, manakala `guh’ pula adalah pokok ru.

Nama Deasoka kemudian bertukar kepada Api-Api selepas Pahlawan Sabah, Datu Paduka Mat Salleh menyerang pusat pentadbiran British di Pulau  Gaya pada 9 Julai 1897.

Pokok ru atau dalam bahasa Bajau `guh’ dikaitkan dengan asal usul nama Tanjung Aru, Kota Kinabalu.- Gambar Mohd Azrone Sarabatin

Api yang marak dan memusnahkan pusat pentadbiran British menyebabkan penduduk di sebuah perkampungan nelayan dekat kawasan tepi pantai tidak jauh dari Deasoka yang melihat kejadian itu menjerit “Api! Api!”. Kawasan itu kemudian mereka namakan Api-Api.

Api-Api kemudian menenggelamkan nama Deasoka sehingga ada yang berpendapat ia adalah nama asal bandar raya Kota Kinabalu.

Selepas serangan berkenaan, pihak British menerusi Syarikat Berpiagam Borneo Utara British telah memutuskan untuk memindahkan penempatan dan pusat pentadbiran ke tanah besar kerana ia lebih mudah dipertahankan, selain bertentangan dengan Pulau Gaya.

Perkampungan nelayan yang dinamakan Api-Api menjadi penempatan Syarikat Borneo Utara British yang baru. Lokasi baru ini kemudian ditetapkan sebagai pelabuhan utama serta perhentian untuk Stesen Keretapi Borneo Utara (Sabah).

Lintasan Deasoka kerap dijadikan venue pameran kraf tangan Sabah untuk mempromosinya ke peringkat dunia.- Gambar Mohd Azrone Sarabatin

Ia telah berkembang dan dinamakan semula sebagai Jesselton, dinamakan sempena Sir Charles Jessel, Naib Pengerusi Syarikat Berpiagam Borneo Utara British.

Penukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu telah dilakukan pada tahun 1968. Ia merupakan kesinambungan daripada cadangan Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun pada 1966 dalam satu perhimpunan rakyat di Tambunan. Kinabalu adalah sempena nama Gunung Kinabalu.

Mohd Azrone Sarabatin

Azrone@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

46  −    =  43