Korea Selatan umum misi ke bulan seawal 2030

 Korea Selatan umum misi ke bulan seawal 2030

SEOUL, 29 Mac – Presiden Korea Selatan Moon Jae-in mengumumkan minggu lalu bahawa negara itu akan menghantar misi robot ke bulan menggunakan roket yang dibangunkan sendiri, seawal tahun 2030.

Dalam ucapannya di Pusat Angkasa Naro di Goheung, Korea Selatan, Presiden Moon berkata negara itu kini membangunkan program angkasa lepas untuk mendarat di satelit semulajadi Bumi itu. Selain itu, mereka juga merancang untuk menghantar kapal angkasa ke asteroid Apophis yang dijangka bergerak menghampiri planet Bumi pada tahun 2029, menurut SpaceNews.

“Kita akan menyokong projek-projek eksplorasi angkasa lepas yang boleh dipacu dengan teknologi dan kenderaan angkasa lepas buatan Korea,” kata beliau. “Setibanya tahun 2030, kita akan capai matlamat dan impian untuk mendarat di bulan menggunakan peralatan sendiri. Dengan misi ini, kita akan mendapat pelbagai faedah seperti kecekapan teknologi, pengalaman dan keberanian yang akan menjadi asas kepada misi-misi yang seterusnya di masa hadapan.”

Presiden Moon juga melahirkan harapan supaya Korea Selatan akan membina kerjasama strategik dengan industri angkasa lepas swasta bagi mencapai impian negara tersebut. Beliau menyebut SpaceX sebagai potensi rakan kongsi strategik yang boleh membantu negara itu membina satu ekosistem industri yang inovatif.

“Teknologi yang kini dipunyai oleh institut-institut penyelidikan awam di Korea Selatan akan dipindah ke sektor swasta secara berkala,” kata beliau. “Kita akan memastikan kemajuan yang berterusan bagi mewujudka satu kluster industri angkasa lepas.”

Institut Penyelidikan Aerospace Korea telah diwujudkan sebagai agensi Korea Selatan pada tahun 1989, namun misi yang dijalankan sebelum ini agak kecil, termasuklah pelancaran satelit dan pembangunan ‘launcher’ roket.

Pengumuman Presiden Moon ini dilihat sebagai satu langkah besar bagi program angkasa lepas Korea Selatan, selepas kerajaan negara tersebut membuat keputusan untuk membelanjakan lebih dari setengah billion dolar untuk projek-projek angkasa lepas, bulan lalu.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  17  =  23