Konvoi Golden Ride 2.0 ke Pantai Timur

 Konvoi Golden Ride 2.0 ke Pantai Timur


KUALA LUMPUR : Konvoi Golden Ride dari Kuala Lumpur ke Arau bakal diteruskan ke negeri-negeri di Pantai Timur dalam tempoh terdekat sejajar dengan sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, lokasi siri konvoi berkenaan yang sepatutnya ke Johor diubah ke negeri di Pantai Timur yang merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

“Konvoi siri kedua bakal diadakan selepas kejayaan pertama Konvoi Golden Ride yang melibatkan 50 motosikal berkuasa tinggi. 

“Lokasi siri konvoi Golden Ride seterusnya sepatutnya ke Johor namun disebabkan akan ada Pilihan Raya Negeri, perancangan konvoi terpaksa diubah ke negeri di Pantai Timur.

“Konvoi itu membabitkan tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang,” kata Shahidan.

Sempena sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kelab Sukan DBKL menganjurkan Golden Ride KL – Arau bermula Jumaat lalu hingga Ahad.

Shahidan berkata, sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur yang bermula pada Februari ini bukan sahaja diraikan warga kota tetapi juga dihayati oleh seluruh rakyat kerana Kuala Lumpur telah melalui sejarah yang panjang dan banyak kejayaan dicapai dalam tempoh tersebut.

“Sambutan Jubli Emas ini melibatkan semua rakyat Malaysia. Oleh itu, kita merancang agar ada sentuhan negeri. Ada pesta budaya yang akan disertai oleh semua negeri, ada pesta makanan dari negeri-negeri dan lain-lain.

“Kita akan meraikan sejarah panjang Bandaraya Kuala Lumpur, maka semua rakyat Malaysia terlibat dengan kejayaan Kuala Lumpur,” katanya.

Terdahulu, konvoi Golden Ride diketuai oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias itu, turut diadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan asnaf dan B40 di dua lokasi, Parlimen Arau dan Parlimen Parit. 

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  3  =