Kontinjen Malaysia di perkampungan Olimpik Tokyo bebas COVID-19

 Kontinjen Malaysia di perkampungan Olimpik Tokyo bebas COVID-19

SEPANG, 21 Jul — Tiada kes jangkitan COVID-19 melibatkan atlet dan kontinjen Malaysia yang berada di Perkampungan Olimpik di Tokyo, Jepun ketika ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kontinjen negara yang tiba di negara matahari terbit itu pada Ahad lepas kini dalam fasa menyesuaikan diri masing-masing dan atlet juga telah memulakan latihan ringan.

“Atlet kita semua okey. Kita ada pegawai di sana (Tokyo) yang memantau keadaan mereka dan setakat ini tiada sebarang kes (COVID-19) yang berjangkit kepada atlet kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) mega Movenpick KLIA, pada Rabu.

Media melaporkan terdapat 71 kes COVID-19 dikesan membabitkan temasya sukan berprestij itu.

Kontinjen Malaysia seramai 40 orang termasuk 18 atlet daripada sukan renang, terjun, badminton, gimnastik dan memanah berlepas ke Tokyo pada Sabtu lepas bagi mengharungi cabaran temasya sukan terbesar dunia itu yang bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Empat atlet pelayaran yang diiringi tiga pegawai bertolak ke Tokyo pada 8 Julai lepas manakala kumpulan seterusnya yang terdiri daripada atlet sukan berbasikal trek, olahraga dan golf dijangka berlepas pada 25 Julai ini.

Mengenai kenyataan Ketua Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo Toshiro Muto yang tidak menolak kemungkinan temasya itu dibatalkan pada saat-saat akhir seandainya kes COVID-19 terus meningkat, Wan Ahmad Fayhsal berkata Malaysia akan memantau situasi itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 470 pekerja industri sukan telah berdaftar sebagai sukarelawan di bawah Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac).

MyVac yang dilancarkan pada Mac lepas merupakan inisiatif kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membantu melancarkan pengurusan pemberian vaksin kepada masyarakat.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, seramai 106 sukarelawan MyVac ditempatkan di PPV mega Movenpic KLIA.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *