Konsep globalisasi Islam diselewengkan Barat

 Konsep globalisasi Islam diselewengkan Barat
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

GLOBALISASI dijelmakan oleh Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia  yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, yang menegaskan:

Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan  kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.”

Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk seluruh umat manusia dengan membawa rahmat untuk semua. Hal ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa Islam adalah agama global. Malah tindakan Baginda membawa perutusan damai dan kesatuan umat dengan dimulai di kalangan keluarga dan sahabat handai terdekat juga menggambarkan proses globalisasi, yang dari kalangan masyarakat kecil itu, kemudiannya berkembang di kalangan komuniti di Makkah, iaitu masyarakat tempatan sendiri.

Inilah proses globalisasi. Dan, inilah sebenarnya ajaran dan panduan Islam yang seharusnya terus menerus berkembang ke seluruh dunia hingga ke hari ini, iaitu pada ketika proses globalisasi telah diambil alih oleh Barat, dan telah diselewengkan begitu rupa, sehingga tujuan murni globalisasi Islam untuk mencipta masyarakat manusia yang aman dan harmoni, mewah dan makmur bersama, akhirnya menjadi proses yang mencipta banyak gelombang kezaliman, diskriminasi, pembolotan kekayaan dunia dan penjajahan. Semua ini bertujuan menekan dan mengikis kekayaan harta benda dan hati budi manusia lain, berbeza sama sekali dari proses globalisasi seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Lihat sajalah kepada keadaan pendidikan ilmu pengetahuan umat Islam, malah kepada kemahiran membaca dan menulis pun, dunia Islam mengalami kemunduran yang ketara dengan meningkatnya peratusan buta huruf di sana sini dalam dunia Islam. Pada masa sama berleluasanya umat Islam yang tidak berpendidikan, jauh sekali dari menguasai ilmu pengetahuan tinggi. Sedangkan proses menghargai dan menguasai ilmu adalah ajaran pertama Islam ketika turunnya surah yang mengandungi ayat tentang falsafah Iqra’ supaya kita membaca dengan nama Tuhan, yang selalu kita slogankan sebagai satu seruan retorika yang tidak kita fahami mesej dan amanahnya.

Konsep persaudaraan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebenarnya melibatkan pembangunan ekonomi dan sistem politik yang sihat dan dinamik, yang mengandungi ciri-ciri globalisasi sekarang ini. Menurut sumber-sumber sejarah pada zaman permulaan Islam itu orang-orang Islam di Makkah mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan dan perdagangan, sedangkan orang-orang Islam di Madinah mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian dan kerja tangan.

Kedua-dua bidang inilah yang sebenarnya menguasai dan membentuk ekonomi dunia pada masa kini. Ia telah diperkembangkan dengan teknologi dan ilmu moden, tetapi tentulah bermula secara primitif seperti yang telah wujud di kalangan umat Islam pada zaman itu.

Orang Barat tidak hanya berhenti sekadar permulaan dan langkah pertama, tetapi mereka melangkah lebih jauh dengan lebih maju lagi ke hadapan berasaskan permulaan yang amat sederhana. Tetapi orang Islam sering berpada dengan permulaan yang kecil, tanpa melangkah ke arah yang lebih maju dan tinggi. Ini adalah satu hakikat yang dapat kita saksikan sepanjang sejarah pembangunan bangsa dan umat Islam sehingga ke hari ini.

Di manakah kerjasama dan sifat tolong menolong antara masyarakat Islam pada hari ini dalam membangunkan ekonomi dan pendidikan umat, persaudaraan Islam yang sejati, tanpa hasad dengki dan permusuhan? Malah apakah peranan umat Islam sebagai satu ummah dalam membangunkan Islam secara menyeluruh sebagi sistem hidup dunia akhirat?

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia dan mantan Ketua Pengarah IKIM.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +    =  12