Konflik keluarga dominasi tema drama TV

 Konflik keluarga dominasi tema drama TV

Oleh Haliza Ahmad

SERANGAN virus COVID-19 yang kita harungi sejak setahun lalu turut mencetuskan pelbagai norma dan trend baharu masyarakat, termasuk corak tema drama TV tempatan.

Peluang bekerja dari rumah dengan tujuan asal membendung jangkitan COVID-19, memberi kesempatan mengeratkan hubungan keluarga dengan drama TV, jadi tumpuan. Ironisnya, tema drama TV yang saling bersaing mendapatkan tontonan saban hari menghidangkan kisah konflik keluarga.

Mungkin kisah ‘feel good’ dan keluarga bahagia sudah semakin ‘cliché’ hinggakan lensa penerbit drama terarah pula kepada dramatisation, menyemarakkan resah dan benci penonton terhadap watak tertentu sekali gus drama mesti diikuti dan rating makin tinggi.

Benci, marah dan hilang rasa hormat anak terhadap seorang ibu; sikap pilih kasih ibu terhadap anak kandung, perselisihan antara adik beradik, hubungan tegang mentua dan menantu menjadi rencah dalam drama yang disiarkan di kaca TV setiap hari bermula dari jam 6 petang sehinggalah 11 malam.

Mungkin ini satu kebetulan ataupun sekadar memenuhi selera penonton. Hampir semua drama yang ditayangkan mempunyai salah satu daripada watak-watak itu. Tajuk drama berbeza-beza tetapi watak-watak di dalamnya seakan-akan ‘memegang’ skrip yang sama.

Drama Setelah Ku Dimiliki dilakonkan oleh Zul Ariffin. Intan Najuwa dan Tiz Zaqyah selaku teraju utama

Sepanjang Februari 2021 bermula seawal 6 petang di slot Lestary TV3, drama Setelah Ku Dimiliki, (28 episod yang diulang tayang, pertama kali disiarkan pada 2019) mengisahkan konflik cinta penuh dugaan antara Sarrafia (lntan Najuwa) dan Adriz (Zul Ariffin).

Sarra telah dihalau oleh ibunya kerana menconteng arang kemuka keluarganya hingga membawa diri ke Pulau Langkawi dan bekerja di Rumah Azirah, sebuah pusat perlindungan wanita.

Pada awal cerita drama adaptasi novel karya Zaza Qry ini menggambarkan bagaimana Sabrina ibu Sarra (Aleza Shadan) begitu membencinya kerana tidak dapat memaafkan ketelanjuran anak sulungnya itu.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Sarra terpaksa memendam rasa apabila pada masa yang sama kakak tirinya Sarlina (Tiz Zaqyah) yang mendapat perlindungan di pusat yang sama kerana mengandungkan anak luar nikah, telah menaruh hati pada Adriz.

Rahimah Tanpa Rahim drama bersiri di slot Akasia TV3 jam 7 hingga 8 malam yang berakhir 2 Mac lalu juga tidak kurang konflik keluarga yang diselubungi cemburu dan dendam.

Para pelakon yang membintangi drama Rahimah Tanpa Rahim

Ia mengisahkan Rahimah (Puteri Aishah) yang menghidap sindrom MRKH (Mayer Rokitansky Kuster Hauser) memiliki kelainan bawaan lahir yang membuatnya tidak punya rahim (uterus) seperti wanita lainnya.

Rahimah seorang gadis yang sangat baik tetapi sering dicemuh ibu tirinya, Mak Aini (Liza Abdullah). Rahimah kemudiannya berkahwin dengan Jauhar (Azlee Khairi), pengasas NGO remaja bermasalah setelah dia bercerai dengan Nurul (Ezzaty Abdullah), gadis pilihan ibunya.

Ibu mertuanya (Amelina) tidak merestui perkahwinan Rahimah dengan Jauhar dan berjaya memujuk anaknya untuk rujuk semula dengan bekas isterinya. Nurul pula sanggup mengkhianati ibunya sendiri (Anne Abdullah) kerana ingin mendapatkan Jauhar kembali.

Di slot Lestary TV3, jam 9 hingga10 malam drama Semua Salahku (ulang tayang, pertama kali disiarkan pada 2019) konflik keluarga yang dipaparkan semakin kompleks di mana Sofea (Fasha Sanda) seorang anak yang derhaka pada ibunya (Fauziah Nawi) dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada anaknya iaitu, Haris (Nafiz Muaz).

Kesempitan hidup dan kehilangan suami untuk kali kedua membuatkan hidup Sofea tertekan.

Walaupun mood seram mendominasi Aku Yang Kau Gelar Isteri di slot Samarinda jam 10 hingga 11 malam, namun watak ibu mertua (Aznah Hamid) yang benci pada menantunya, Raihani (Nadia Brian) tetap menjadi salah satu ‘watak wajib’ dalam drama bersiri ini.

Secara ringkas drama ini adalah kisah cinta Laila (Sharifah Sakinah) tidak dibalas oleh Eizlan (Adi Putra) yang akhirnya mengahwini Raihani. Laila kecewa dan membawa diri ke Kuala Lumpur. Sembilan tahun kemudian, Laila kembali ke kampung untuk membalas dendam bersenjatakan ilmu hitam demi merampas Eizlan.

 

Hun Haqeem, Wanna Ali dan Merqeen bergandingan dalam drama Angkara Cinta

Seorang dilimpahi kemewahan manakala seorang lagi dihimpit kemiskinan. Setelah dewasa, mereka memasuki Akademi Polis dan menjadi sahabat karib. Hubungan mereka renggang apabila kisah pertalian darah mereka terbongkar dan dirumitkan lagi kerana dilema mencintai gadis yang sama iaitu Adira (Wanna Ali).Angkara Cinta di slot Tiara Astro Prima jam 6 petang juga memaparkan konflik keluarga antara dua beradik, Luqman (Hun Haqeem) dan Haqeem (Meerqeen) yang dibesarkan dalam keadaan latar belakang dua keluarga yang sangat berbeza.

Perkahwinan antara Adira dan Luqman pula tidak direstui ibu mertuanya Indah (Sharifah Shahora).

Drama bersiri di Astro RIA Marry Me Senorita adaptasi novel nukilan Suri Ryana di slot Megadrama, jam 10 malam mulai 2 Februari juga terselit watak ibu mentua yang tidak menyenangi menantunya Sofiy Leia (Janna Nick). Sofiy yang berkahwin dengan Isa Alejandro (Dini Schatzmann) kerana ingin menyelamatkan diri dari majikannya bukanlah pilihan Engku Marini (Yasmin Hani).

Sofiy dan Isa terpaksa bercerai kerana Isa dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarga Rossa Arabella (Shaza Bae). Hubungan Engku Marini dengan bapanya, Engku Aziz (Dato Jalaludin Hassan) juga tegang.

Kesimpulannya, walaupun watak-watak yang diketengahkan dalam drama-drama ini adalah rekaan semata-mata, kepentingan karektor sebegini semakin menyerlah dalam mewarnai pentas drama TV tempatan yang mengangkat tema konflik keluarga.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +    =  5