Komuniti perlu main peranan sebagai pejuang barisan hadapan – PM

 Komuniti perlu main peranan sebagai pejuang barisan hadapan – PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin –fotoBERNAMA (2021)

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Kaedah atau pendekatan terbaik bagi menangani penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti adalah dengan memastikan komuniti itu sendiri meningkatkan usaha dalam memainkan peranan sebagai ‘frontliner’ atau pejuang barisan hadapan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sehingga vaksin COVID-19 dapat mencapai sasaran ditetapkan, negara masih mengharungi suatu tempoh yang sukar dalam memerangi wabak itu kerana bilangan kes masih tinggi walaupun kes positif baharu kini semakin menurun.

Beliau berkata usaha mengekang penularan wabak COVID-19 tidak akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya tidak didukung oleh setiap lapisan masyarakat.

“Justeru program Pemerkasaan Komuniti ini adalah senjata yang kita ada dalam usaha untuk bersama-sama membendung penularan virus COVID-19 ini.

“Usaha ini juga selaras dengan strategi dalam Dasar Perpaduan Negara untuk memperkasakan institusi keluarga dan komuniti yang telah saya lancarkan pada 15 Feb lalu,” katanya dalam ucapan sempena Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, RTM hari ini.

Menjelas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan wabak tersebut.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah, sedang dan akan menggerakkan beberapa inisiatif Pemerkasaan Komuniti bagi menghadapi ancaman penularan COVID-19 termasuk memperkenalkan Program Agent Basmi COVID-19 (ABC-19) melalui pendekatan ‘Whole-of-Society’ yang digerakkan oleh agensi kerajaan, kepimpinan komuniti dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

Katanya sehingga 23 Mac lepas, seramai 29,407 anggota agensi dan kepimpinan komuniti telah menyantuni lebih 1.325 juta rakyat melalui pelbagai program di lebih 22,166 hotspot atau kawasan tumpuan dengan keanggotaan ABC-19 itu bertambah dengan penglibatan sukarelawan NGO.

Muhyiddin menjelaskan pelbagai isu dan cabaran semasa menghadapi COVID-19 dihadapi oleh komuniti memerlukan pendekatan kolektif yang inovatif dan kreatif, maka pemerkasaan komuniti secara komprehensif amat penting sebagai salah satu usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Kepimpinan komuniti merupakan tulang belakang dalam sesebuah komuniti.

“Contohnya penghulu, ketua kampung, ketua-ketua agama, ketua rumah panjang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli dan lain-lain pemimpin masyarakat perlulah digerakkan bagi bersama-sama menjayakan usaha ini,” katanya.

Perdana Menteri turut menggesa supaya komuniti melaksanakan aktiviti pemantauan di kawasan masing-masing seperti mengawasi sempadan mereka daripada dimasuki oleh orang luar tanpa kawalan sebagai antara usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

“Jika kita lihat kepada statistik daripada Kementerian Kesihatan, kes-kes jangkitan dalam kalangan komuniti yang masih tinggi amat membimbangkan. Kita tidak mengetahui siapakah di antara kita yang dijangkiti kerana mereka tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya.

Justeru, Muhyiddin mahu segala medium dan platform komuniti masing-masing harus digembleng agar komuniti sendiri dapat mengambil tanggungjawab menjaga persekitaran mereka tanpa memerlukan penguatkuasaan yang ketat oleh kerajaan.

“Pemimpin komuniti juga perlu memastikan pematuhan ahli-ahli komuniti kepada prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dengan memberi nasihat, teguran, panduan dan peringatan agar sentiasa berwaspada dan secara tidak langsung dapat membudayakannya dalam kehidupan seharian demi kebaikan bersama,” katanya.

Menurut perdana menteri, bagi mengoperasikan semua pendekatan tersebut, kerajaan mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui sekretariat Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah untuk menyelaraskan pelaksanaan ABC-19 di lapangan di seluruh negara.

“Saya sekali lagi menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar terus bermuafakat demi merealisasikan hasrat menamatkan wabak COVID-19 dan memacu kembali pembangunan serta kesejahteraan negara yang kita sayangi ini, insya-Allah,” katanya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  5  =  5