Kolej Antarabangsa DMDI tawar biasiswa pelajar B40

 Kolej Antarabangsa DMDI tawar biasiswa pelajar B40

SEPANG, 9 April – Kolej Antarabangsa DMDI menawarkan biasiswa kepada 100 pelajar terawal yang mendaftarkan diri untuk program Diploma Pengurusan Pelancongannya.

Mohammad Shatar (kanan) menyerahkan surat kelulusan akreditasi program Diploma Pengurusan Pelancongan, Kolej Antarabangsa DMDI kepada Ahmad

Ketua Eksekutifnya, Prof Madya Datuk Ahmad Khalid, berkata pihaknya menyasarkan pelajar yang berminat menyambung pengajian tinggi dalam bidang pelancongan terutama mereka daripada keluarga B40.

Katanya, program terbaharu ditawarkan itu bermula Jun depan itu bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang pelancongan.

“Biasiswa yang ditawarkan ini terbuka untuk semua pelajar yang berminat, namun memberi keutamaan kepada anak kelahiran Melaka bagi meningkatkan kualiti pendidikan mereka.

“Selepas ini banyak lagi program akan diperkenalkan Kolej Antarabangsa DMDI termasuk diploma dalam bidang perhubungan industri, sains komputer, pengurusan perniagaan dan sijil perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi menerima surat akreditasi program Diploma Pengurusan Pelancongan.

Surat itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Dato’ Dr Mohammad Shatar Sabran. Hadir sama, Pendaftar Kolej Antarabangsa DMDI, Dr Mohd Azmi Ramlee.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, penawaran biasiswa dan program terbabit dijangka mampu menarik minat anak muda mendalami bidang pelancongan terutama di Melaka.

Katanya, sebelum ini apabila berbicara mengenai pelancongan, masyarakat hanya melihat tempat menarik dan penginapan, namun kami mahu bidang itu menjadi seperti pengajian komunikasi yang sangat meluas bidangnya.

“Banyak peluang pekerjaan dan perniagaan boleh diterokai dalam dunia pelancongan terutam membabitkan perancangan dan pengurusannya.

“Kami mahu melahirkan graduan yang mampu menjaga reputasi, imej dan identiti syarikat mereka bekerja ataupun perniagaan mereka sendiri,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  35  =  36