Kolam tadahan bakal diwartakan

 Kolam tadahan bakal diwartakan

KUALA LUMPUR : Tidak mahu memberikan sebarang kenyataan tanpa fakta yang kukuh, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bakal memperincikan pengumuman untuk mengazetkan kolam tadahan di sekitar ibu kota.

Beliau menegaskan, perkara terbabit tertakluk kepada proses undang-undang dan bakal membuat kenyataan keputusan itu pada satu tarikh yang akan datang.

“Saya akan mengumumkan apabila tiba masanya nanti. Terpulang kepada tuan-tuan di luar sana untuk berpolemik di media sosial, teruskan… Saya tidak mahu membuat pengumuman tanpa fakta yang jelas.

Shahidan Kassim melawat kawasan pembangunan semula Flat sekitar Kuala Lumpur sebelum ini.

“Oleh itu, buat masa ini kita tidak boleh beri jawapan kerana kita sudah buat, Datuk Bandar juga telah memanggil tender untuk buat ukuran.

“Hendak bersuara (mengenai perkara itu) boleh, tidak ada masalah, tetapi untuk buat kerja ini kita ada masalah sikit kerana kena ikut satu proses undang-undang,” katanya.

Shahidan mengulas kepada media berhubung isu berkenaan ketika ditemui di sesi lawatan kawasan tapak parkir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Anggerik dekat Jalan Kelang Lama di sini, pada Selasa.

Turut hadir melawat tapak kawasan pembinaan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Terdahulu, Shahidan memberikan jaminan untuk mempertahan dan memastikan kolam tadahan di ibu kota akan dipelihara daripada sebarang projek komersial.

Selain itu, beliau turut ingin memastikan tiada sebarang usaha untuk menukarkan status untuk pelaksanaan projek pembangunan, yang bertentangan dengan matlamat sebenar keperluan kolam terbabit.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3  +    =  5