Koboi Bajau kembali ke Bua’ Pintasan

 Koboi Bajau kembali ke Bua’ Pintasan

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA BELUD, 25 Mac — Kegemilangan koboi Bajau yang mahir menunggang kuda untuk menangkap ternakan khususnya kerbau bakal kembali mewarnai rizab Padang Ragut Bua’ Pintasan, kira-kira 20 Kilometer dari sini, tidak lama lagi.

Perkembangan ini berikutan perancangan strategik  penduduk beberapa kampung yang dibenarkan kerajaan menternak dan mendiami kawasan berkenaan bagi menjana kegiatan ekonomi.

Antara yang mendapat kebenaran menternak haiwan peliharaan seperti lembu dan kerbau di kawasan berkenaan adalah penduduk Kampung Labuan, Kampung Wakap, Kampung Taun Gusi dan Kampung Jawi-Jawi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Labuan, Rusidi Merjin berkata, penduduk kampung berkenaan antara paling banyak ternakan di padang ragut itu pada era sebelum merdeka sehingga awal 1980-an dan terkenal dengan kepakaran `napak kerabau’ (menangkap kerbau) ala koboi.

Menurutnya, generasi muda turut berminat menternak lembu dan kerbau, selain bercucuk tanam di kawasan berkenaan yang dengan sendirinya mengembalikan kegemilangannya sebagai pusat penternakan kerbau dan lembu utama di Sabah.

Beliau berkata, selain untuk meningkatkan ekonomi masyarakat setempat, ia juga boleh menjadi tarikan pelancong untuk melihat kecekapan koboi Bajau memburu ternakan menggunakan `tapak’ (tali dipasang pada buluh untuk menangkap ternakan) atau terus melemparkan gelung tali ke tanduk atau leher ternakan.

“Cuma apa yang perlu dilakukan sekarang adalah peranan penunggang kuda veteran untuk melatih generasi untuk menjadi koboi baharu.

“Pada masa sama, kami juga meminta jasa baik Kerajaan Sabah untuk mewarta dan memberi geran kepada penduduk kampung kami yang sudah lama menternak dan bercucuk tanam di situ. Tuntutan ini kami perjuangkan sejak 12 tahun lalu,” katanya kepada Wacana.my di Bua’ Pintasan.

Baru-baru ini, Wacana.my melaporkan penjualan ternakan hidup mencakupi kerbau dan lembu hidup pernah mewarnai tapak khas di Tamu Kota Belud yang diamalkan sebelum era kemerdekaan sebelum terhenti awal 1990 dan diaktifkan semula pada 2004, namun terhenti semula setahun kemudian.

Bagaimanapun, tinjauan di tapak jualan ternakan hidup di Tamu Kota Belud atau `Semio Aad’ dalam bahasa Bajau mendapati separuh daripada tapak berkenaan diliputi belukar, manakala selebihnya dimajukan sebagai kafe sejak tiga tahun lalu.

Peralatan untuk menimbang dan kandang khas tempat transit menempatkan ternakan sebelum dibeli pelanggan juga sudah tiada di tapak asal.

Tradisi menunggang kuda padi dalam kalangan masyarakat Bajau juga berkait rapat dengan penternakan lembu dan kerbau.

Ini kerana kuda adalah haiwan tunggangan ke kawasan padang ragut untuk menangkap ternakan berkenaan ala koboi dalam filem Barat.

Sementara itu, tinjauan ke kawasan padang ragut yang dimaksudkan iaitu rizab Padang Ragut Bua’ Pintasan mendapati kegiatan penternakan masih dijalankan, namun tiada lagi `koboi’ menjaga ternakan berkenaan, selain jumlah lembu dan kerbau semakin berkurangan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =