KKM akan berkongsi data AEFI minggu depan – Khairy

 KKM akan berkongsi data AEFI minggu depan – Khairy

(Gambar Fail) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) melawat Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Shah Alam. WMY/SUPIAN AHMAD

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Kementerian Kesihatan (KKM) akan lebih terbuka dengan berkongsi data mengenai kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang disebabkan oleh penerimaan vaksin COVID-19 kepada umum bermula minggu depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkongsian AEFI untuk melegakan hati rakyat.

“Jadi anda boleh lihat jenis AEFI sama ada sakit kepala, demam dan sebagainya. Kita akan keluarkan sebagai sebahagian daripada komiten saya untuk memberikan ketelusan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini pada Rabu.

Tambah Khairy, tiada laporan mengenai kematian yang disebabkan oleh penerimaan vaksin COVID-19 diterima pihaknya sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan pada 24 Feb lepas.

Jelas beliau, setakat Isnin lepas (30 Ogos), sebanyak 34,455,366 dos vaksin telah diberikan.

Beliau berkata selain mengenai AEFI, pelbagai data berkaitan COVID-19 akan dikongsi kepada umum secara terperinci minggu depan dalam usaha meningkatkan ketelusan KKM.

“Ini adalah data granular yang akan kita sediakan secara terbuka kepada semua untuk melihat lebih daripada data-data yang telah pun kita bekalkan selama ini.

“Saya telah buat ketetapan budaya kerja KKM selepas ni lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan respons KKM kepada pandemik ini, tidak lagi ada tuduhan kerahsiaan dan tuduhan maklumat yang tidak dapat kita peroleh daripada kerajaan,” katanya.

Khairy berkata sehingga 31 Ogos, sebanyak 84.3 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima satu dos vaksin COVID-19 manakala 64.2 peratus populasi dewasa telah menerima dos lengkap.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah berterima kasih kepada Khairy kerana mengetuai sidang media untuk KKM.

Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah

“Ucapan beliau tersusun dengan baik, penuh fakta dan besertakan bukti, marilah kita berterus terang dengan orang awam, bergerak bersama sebagai satu negara, satu keluarga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Berkenaan perancangaan untuk guru yang tidak mahu vaksin, Dr Rafidah berkata beliau amat setuju dan menyokong cadangan Menteri Kesihatan itu.

” Kita terus berusaha memberi maklumat yang meyakinkan kepada mereka dan jika mereka masih tidak mahu, saya rasa ibubapa kanak-kanak yang bakal dihantar ke sekolah tersebut perlu tahu berapa orang cikgu tidak divaksin. Itu hak ibubapa. Anak-anak kita perlu dilindungi,” jelasnya.

 

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  45  =  51