K’jaan usahakan aktiviti penggambaran studio dibenar pada fasa dua PPN

 K’jaan usahakan aktiviti penggambaran studio dibenar pada fasa dua PPN

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang berusaha mendapatkan kebenaran agar aktiviti penggambaran di dalam studio dibenarkan apabila negara berada dalam Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata cadangan itu tertakluk kepada studio yang diberikan kelulusan sahaja bagi memudahkan aspek pematuhan dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) serta keselamatan yang menjadi agenda utama membanteras penularan wabak COVID-19.

“Kita mempunyai studio yang boleh digunakan termasuk di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Selangor, Johor dan Sarawak selain ada beberapa syarikat produksi yang mempunyai kemudahan itu memberi keizinan menggunakan studio mereka.

“Jumlahnya (studio) tidak banyak namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka bernafas kerana di sebalik penggambaran, ada ramai di belakang tabir,” katanya pada sidang media Pembentangan Kad Laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota 2020 secara dalam talian hari ini.

Berdasarkan ketetapan sebelum ini, aktiviti penggambaran hanya dibenarkan beroperasi apabila negara berada pada Fasa Tiga PPN iaitu apabila purata kes harian COVID-19 kurang 2,000 kes, penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) berada pada paras mencukupi dan kadar vaksinasi ialah sebanyak 40 peratus.

Beliau berkata cadangan itu akan diutarakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan sewajarnya.

Selain itu, cadangan supaya peralihan fasa PPN dibuat mengikut negeri, menurut Saifuddin ia dapat membantu industi seni kreatif jika terdapat studio bersesuaian di negeri berkenaan yang boleh dipertimbangkan bagi aktiviti penggambaran tertakluk kepada syarat dan SOP ditetapkan.

Saifuddin juga memaklumkan setakat ini, lebih kurang RM250 juta diperuntukkan bagi membantu mereka dalam industri seni kreatif yang terkesan, dengan RM100 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  6