Kitaran ekonomi & persediaan hadapi mengikut al-Quran

 Kitaran ekonomi & persediaan hadapi mengikut al-Quran
Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

UMUM mengetahui, ekonomi global telah mengalami kemelesetan tahun lalu yang disebabkan  penularan wabak COVID-19. Namun, apakah kita sedar setiap yang berlaku di sekeliling kita seolah-olah mempunyai suatu kitarannya tersendiri? Jika seseorang yang melabur di dalam pasaran saham, bon dan matawang, analisis teknikal adalah antara teknik pelaburan yang sering digunakan. Frasa ‘history will repeat itself’ sememangnya menjadi suatu inti pati utama apabila seseorang menganalisis carta bagi mengenal pasti trend serta peluang membeli pada harga yang rendah dan menjual pada harga yang tinggi.

Frasa berkenaan mengambil kira faktor sejarah dalam usaha untuk memastikan sesuatu pelaburan itu berjaya menghasilkan pulangan yang lumayan. Analisis fundamental juga mengambilkira faktor sejarah bagi memahami apakah prospek yang bakal dilalui oleh sesebuah syarikat itu. Tujuannya juga sama iaitu untuk memastikan kita memilih syarikat yang betul untuk dilaburkan dan akhirnya dapat menghasilkan pulangan yang lumayan. Begitu juga bagi peniaga akan sentiasa melihat ke belakang bagi mempelajari kesilapan yang pernah dilakukan supaya ia tidak diulangi.

Meskipun demikian, adakah kita semua sedar terdapat suatu kitaran ekonomi yang sering berlaku dan ia mempunyai sela masa yang boleh dikatakan agak konsisten. Melihat kepada angka seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia seolah-olah mempunyai trend yang mana ia  akan menguncup sekali dalam setiap 10 tahun. Seperti yang kita ketahui, KDNK negara menguncup sebanyak 5.6 peratus  tahun lalu yang mana isu penularan wabak COVID-19 dilihat telah melumpuhkan ekonomi negara berikutan keperluan untuk melaksanakan langkah kawalan pergerakan yang bertujuan mengekang jangkitan wabak.

Sebelum itu, ekonomi negara mengalami kemelesetan pada 2009 berikutan kejutan ekonomi yang disebabkan  Krisis Sub Prima di Amerika Syarikat (AS) yang bermula pada 2007 dan 2008. Kejatuhan harga pasaran hartanah yang melampau serta kemungkinan bayaran pinjaman perumahan yang diberikan kepada peminjam yang berkualiti rendah atau sub prime telah memberi kesan sistem kewangan ekononomi global. Ia telah menyebabkan kemarau kecairan atau credit crunch sehingga memaksa bank pusat utama dunia seperti Rizab Persekutan AS untuk menyelamatkan institusi perbankan yang too big, too fail. Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1.5 peratus pada 2009.

Kemudian pada 1998, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 7.4 peratus akibat Krisis Kewangan Asia yang mana sistem perbankan juga hampir lumpuh akibat situasi pinjaman tidak berbayar yang meningkat drastik. Perkara ini telah memaksa kerajaan untuk menubuhkan beberapa institusi seperti Danaharta yang bertujuan untuk memulihkan aset-aset perbankan atau pinjaman yang sudah tidak berbayar. Danamodal pula ditubuhkan untuk menyuntik dana kepada institusi perbankan supaya boleh berfungsi seperti asal iaitu menyalurkan kredit kepada sektor-sektor ekonomi yang produktif. Pada 1985, pula kejatuhan harga komoditi menyebabkan KDNK negara mencatatkan pertumbuhan negatif 1 peratus.

Berdasarkan fakta sejarah, ekonomi negara seolah-olah mengalami kemelesetan sekali dalam hampir setiap 10 tahun iaitu 1985, 1998, 2009 dan 2020. Fakta ini amat bertepatan dengan apa yang dinyatakan di dalam al-Quran melalui Surah Yusuf ayat 47, 48 dan 49. Di dalam ayat 47 yang bermaksud: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan makanan.” Ayat ini seolah-olah menggambarkan tujuah tahun yang baik dari segi ekonominya dan kita digalakkan membuat simpanan.

Ayat 48 pula bermaksud: “Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya;  kecuali sedikit dari pada apa yang kamu simpan (untuk jadikan benih).”

Ini bermakna, pada waktu yang sukar, kita akan menggunakan simpanan dan berusaha untuk memperbaiki keadaan itu. Situasi ini boleh kita kaitkan dengan pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan yang mana defisit fiskal dilihat melonjak ke paras 6.2 peratus daripada KDNK pada 2020. Dari sudut dasar monetari pula, Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas tahun lalu bagi tujuan menyokong ekonomi melalui kos dana yang boleh menggalakkan aktiviti ekonomi.

Seterusnya, ayat 49 bermaksud: “Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang yang beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).” Ini seolah-olah menandakan akan adanya pemulihan ekonomi setelah menghadapi waktu kemelesetan sebelum itu.

Dalam konteks semasa, jangkaan pertumbuhan KDNK yang positif menandakan ekonomi negara bakal pulih. Namun proses pemulihan ini perlu memakan masa kerana ia amat bergantung kepada jenis ‘kejutan’ ekonomi yang dihadapi. Pada 1998 dan 2009, krisis yang dihadapi lebih berorientasikan sistem kewangan yang mana sistem tersebut menjadi sangat lemah akibat banyaknya hutang yang tidak boleh dibayar.

Justeru, kadar pemulihan ekonomi agak cepat setelah masalan itu selesai. Namun, situasi pandemik ini, kita berhadapan dengan suasana ekonomi yang mempunyai kekangan luar biasa yang mana pergerakan manuasia menjadi amat terbatas akibat usaha untuk meratakan keluk jangkitan COVID-19. Oleh itu, kita perlu meletakkan pengharapan yang realistik terhadap proses pemulihan ekonomi.

Kalau diperhatikan dalam ayat 47, aspek simpanan ditekankan sebagai persedian untuk menghadapi waktu-waktu sukar. Untuk menyimpan wang yang kita perolehi hasil daripada titik peluh kita memerlukan suatu bentuk disiplin yang tinggi. Ini adalah kerana kita mungkin cenderung untuk berbelanja lebih daripada kemampuan sekiranya kita terpengaruh dengan persekitaran kita.

Perkara ini menjadi amat sinonim dengan wujudnya media sosial yang mana manusia boleh berinteraksi selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu serta bahan yang dikongsi boleh bersifat peribadi dan berpotensi memberi impak kepada tabiat seseorang itu berbelanja. Oleh itu, kita perlu mengawal perbelanjaan kita supaya kedudukan kewangan peribadi tidak tersepit dek kerana mahu mendapat pengikitirafan masyarakat sekeliling.

Sehubungan itu, kita sudah mempunyai dua bukti yang kukuh bahawa kitaran ekonomi itu wujud, baik dari sudut empirikal dan juga dari segi rohani. Persoalannya, adakah kita mengambil iktibar daripada bukti-bukti yang jelas menunjukkan kita perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan periuk nasi kita.

Berada dalam zon selesa sememangnya boleh mengundang bahaya yang amat memudaratkan kerana dalam zon ini, kita akan cenderung menjadi alpa dan berkemungkinan juga, sedikit sombong kerana kita percaya  apa yang kita usahakan selama ini akan menjanjikan kejayaan.

Oleh itu, kita perlu sentiasa menilai kedudukan yang kita ada, baik dari segi perniagaan mahupun individu. Kita perlu sentiasa membina senario (scenario building) dan senario yang perlu kita tekankan ialah senario paling teruk atau ‘worst case scenario’. Tujuannya adalah bagi membuat persedian yang realistik sekiranya senario tersebut direalisasikan. Akhir kata, kita perlu sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki ekonomi kita dari semasa ke semasa dan kita perlu elakkan daripada berada pada zon selesa terlalu lama.

 

Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +  3  =