Kisah unik etnik Sarawak warnai pentas filem antarabangsa

 Kisah unik etnik Sarawak warnai pentas filem antarabangsa

Adegan dari filem Edge of the World

Oleh Haliza Ahmad

KEUNIKAN budaya pelbagai etnik dalam keindahan alam semula jadi yang bersulamkan kisah uniknya menjadikan Sarawak buruan lensa untuk filem, drama atau dokumentari.

Sleeping Dictionary yang dibuat penggambaran di Sarawak diterbitkan pada 2003, dibintangi Hugh Dancy dan Jessica Alba

Bumi Kenyalang tersohor sebagai destinasi lokasi penggambaran dengan namanya terpahat dalam rentetan filem antarabangsa. Antaranya The Legend of Bujang Senang (2017); Bruno Manser – Laki Penan (2007); The Amazing Race Asia (2006); The Sleeping Dictionary (2003); Farewell to the King (1989), dan Tong Tana – En resa till Borneos inre (1989).

Terkini, filem Edge of the World yang memaparkan sejarah Sir James Brooke dan kaum pribumi Sarawak, arahan Michael Haussman akan ditayangkan di Amerika Syarikat dan Britain, Jun ini.

Filem indie Belaban Hidup: Infeksi Zombie’yang merangkul anugerah Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik di International Symbolic Art Film Festival (ISAFF) di St Petersburg, Rusia serta pemenang kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival Singapore 2021, turut berkisar mengenai kehidupan suku etnik di Sarawak.

Filem terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment Sdn Bhd arahan Ray Lee, 45, itu berlatar belakang kehidupan masyarakat Dayak di Sarawak di mana sekumpulan anak yatim dikurung untuk dijadikan bahan uji kaji oleh seorang saintis gila.

Kenyataan Ray Lee bahawa industri perfileman antarabangsa dahagakan karya yang unik dan sarat dengan budaya seperti keunikan budaya di Sarawak, disokong Ali Mohamad, 64, anak jati Sarawak yang sudah berkecimpung dalam drama radio, TV dan filem sejak 1967.

Ali, mempunyai pengalaman produksi filem dan drama selama 30 tahun terbabit dalam lebih 80 buah drama, sembilan filem tempatan dan empat filem antarabangsa sebagai pelakon tambahan dan pekerja di belakang tabir.

Antaranya, drama Patong Cinta, Kenyalang I’m in Love, Verloren Auf Borneo (Jerman), filem Rentap, Fantasi, Kanang Anak Langkau, Puteri Gunung Ledang dan Sumpahan Jerunei. Manakala filem antarabangsa disertainya ialah A Barboo Morto (Itali) Sleeping Dictionary (Britain), The Intended (Denmark) dan Edge of the World (Hollywood).

Pengiat seni veteran yang kini menetap di Petra Jaya, Kuching itu berkata Sarawak mempunyai kelebihan kerana kepelbagaian etnik yang ada di negeri itu.

Ali (kanan) bersama pelakon Zack & Richard Mathias dalam filem Rentap

“Keunikan budaya inilah kekayaan kami yang tidak ada di negeri lain. Sarawak mempunyai lebih kurang 27 suku etnik utama dan ini tidak termasuk pecahan-pecahan kecilnya. Sudah tentulah dari pelbagai etnik itu akan ada pelbagai adat resam, anutannya, warisan budaya bangsa mereka, yang mengisi cerita-cerita yang menarik dan unik.

“Amat banyak sekali kisah-kisah menarik dari pelbagai suku kaum kami di Sarawak yang boleh difilemkan. Apa yang penting, kena kenali dan hormati setiap suku kaum kami di Sarawak, datang ke sini menyusuri setiap pelosok kota, desa dan belantara, bagi menemui khazanah itu,” kata Ali.

Kisah yang menarik dari beberapa suku kaum Sarawak, yang mungkin dapat menambat hati penonton dan boleh difilemkan, menurut Ali ialah sejarah legenda Puteri Santubong (suku kaum Melayu) ; Dang Esah tandang Sari (Melayu) ; Rentap pahlawan Iban (Iban); Tugau pahlawan Melanau (Melanau); Ruyang – sejenis gelang pusaka (Bidayuh biatah) ; Ngoncong & Tuntong (Selako Pueh) dan Naga Tasek Loagan Bunut (Kaum Berawan, Rthnik (Orang Ulu).

Beliau antara prop maker dalam filem Edge of the World, menambah keunikan busana tradisional dari pelbagai etnik di Sarawak turut memberi kelainan dan tarikan di persada seni antarabangsa.

“Keindahan pakaian etnik-etnik di Sarawak turut terserlah dengan ragam hias yang mempamerkan kemahiran hasil kerja tangan, termasuklah tenunan, jalian manik dan juga rantai kulit siput,” katanya.

Philip (kiri) bersama crew produksi travelogue

Philip Gawing, 62, penerbit dari Philip Productions yang menetap di Kuching turut berkongsi keunikan Sarawak sebagai lokasi penggambaran yang mempunyai kisah-kisah yang menarik.

“Majoriti penerbit dari Sarawak suka memilih cerita-cerita seram masa lalu seperti Hantu Janet. Ada juga penerbit yang memberanikan diri mencuba teknik silent komedi seperti cerita Charlie Chaplin.

“Dari pemerhatian saya, pembikin filem cenderung mengadaptasikan sejarah dan cerita lama sebagai bahan terbitan mereka. Ini jelas sekali dalam filem-filem seperti Rentap, Kanang anak Langkau, Edge of the World dan banyak lagi,” kata Philip.

Di sebalik keghairahan menerbitkan filem-filem yang sarat dengan kisah-kisah budaya etnik yang pelbagai, Philip mendedahkan pembikin filem di Sarawak menghadapi kekangan dalam mendapatkan kemudahan peralatan produksi.

“Cabaran yang sering dihadapi oleh pembikin filem di sini ialah kemudahan peralatan seperti kamera, audio, lighting dan sebagainya.

“Kita kurang jurukamera berkaliber atau juruaudio mahir, jurulampu berpengalaman dan penyunting video. Mereka sering menjadi rebutan kerana jumlah mereka yang kecil,” keluhnya.

Tambahnya, seringkali berlaku situasi di mana seorang jurukamera dan penyunting video terpaksa mengalas tiga atau empat tugasan pada satu masa.

Kekurangan peralatan untuk sewaan seperti kamera, audio dan lampu juga menyebabkan kelewatan proses penerbitan filem.

Justeru, beliau berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dapat membantu mengadakan kursus asas seperti camera work, rakaman audio profesional, teknik pencahayaan terkini dan penyuntingan video bagi mengatasi kekurangan tenaga mahir di Sarawak.

Philip yang baru selesai penggambaran telemovie Atok dan Alex, menegaskan Sarawak memerlukan lebih ramai petugas mahir dalam bidang pembikinan filem. Langkah menggunakan krew dari Semenanjung cuma akan menaikkan kos produksi.

“Pembikin filem di Sarawak perlu ambil kesempatan daripada kisah-kisah menarik warisan kita dan pada masa sama melengkapkan diri dengan kemahiran untuk bersaing di arena filem antarabangsa,” kata Philip yang pernah menerbitkan program majalah 13 episod untuk RTM, Melah Pinang mengenai adat perkahwinan kaum etnik Sarawak.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

50  −    =  49