Kini masanya tarik FDI kembali ke Malaysia

 Kini masanya tarik FDI kembali ke Malaysia

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Pembaharuan polisi bagi menghapuskan karenah birokrasi, mengekang jenayah ekonomi dan meningkatkan modal insan adalah strategi penting yang boleh menambah baik daya saing negara dalam usaha menarik pelaburan terus asing (FDI).

Penguluas ekonomi dan pelaburan terkenal, Pankaj Kumar, berkata sebagai sebuah negara, kita perlu mengkaji semula mengapa Malaysia gagal menarik FDI yang betul dan pada masa sama harus menganalisis mengapa negara jiran berterusan dapat menarik FDI.

Beliau menegaskan, pandemik COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk kemasukan FDI yang lemah, kerana telah terbukti negara Asean lain berupaya menarik pelaburan baharu.

Ulasan Pankaj ini susulan kepada laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) yang menunjukkan Malaysia hanya memperoleh RM10 bilion dari segi FDI pada 2020. Ia adalah yang terendah sejak 2009, di mana FDI hanya mencatat RM5.1 bilion disebabkan krisis kewangan global 2008.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, ketika Malaysia menyaksikan penurunan besar sebanyak 68% dari segi jumlah keseluruhan FDI pada tahun lalu, laporan UNCTAD itu menunjukkan Filipina meraih kenaikan 29% dari segi FDI, manakala negara Asean  lain mempamerkan prestasi lebih baik berbanding Malaysia.

“Malaysia memerlukan perubahan dasar awam bagi menghapuskan karenah birokrasi dan menarik FDI berkualiti.”

“Beberapa bulan kebelakangan ini, Indonesia telah menarik perniagaan terkemuka termasuk Hyundai yang merancang untuk membuka kilang kenderaan yang bernilai RM5.63 bilion (AS$1.37 bilion di Bekasi Regency, Timur Jakarta, dan Toyota, yang membuka usaha sama kereta elektrik bernilai RM8 bilion (AS$2 bilion). Malah Elon Musk mempertimbangkan untuk membuka kilang Tesla di Indonesia,” tambah Pankaj.

Menurut Pankaj, Malaysia memerlukan perubahan dasar awam bagi menghapuskan karenah birokrasi dan menarik FDI berkualiti. “Dasar-dasar berkaitan kepada mengehadkan pemilikan ekuiti asing di dalam sektor khusus serta halangan membenarkan syarikat asing membawa tenaga kerja berkemahiran tinggi mereka sendiri, juga hendaklah dikaji semula.”

Beliau berkata, jenayah ekonomi seperti skandal kewangan, isu penyeludupan dan pasaran rokok seludup, di mana Malaysia kini memiliki insiden rokok seludup tertinggi di dunia, telah mengakibatkan pelabur beralih ke tempat lain. “Semestinya pelabur asing akan membatalkan niat disebabkan persepsi kes rasuah dan pelanggaran undang-undang yang berleluasa. Pelaburan mereka boleh tergadai disebabkan jenayah ekonomi yang tidak dibendung.

“Inilah sebabnya mengapa kerajaan Malaysia mesti membuat tindakan yang nekad dan menyeluruh membanteras pasaran gelap. Langkah penguatkuasaan hendaklah seiring dengan perubahan dasar bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan pelabur,” ujarnya.

Yang terakhir, Malaysia hendaklah melabur untuk meningkatkan set kemahiran dan set minda modal insani. “Norma baharu akan membawa kita kepada cabaran dan peluang berbeza.

Himpunan bakat sedia ada dan akan datang kita hendaklah berupaya untuk menerap, berinovasi dan cukup dilengkapi bagi menyaingi kehendak perubahan persekitaran bagi memberikan alasan yang terbaik bagi pertubuhan berorientasi global melabur di Malaysia,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

79  −    =  75