Kilang papan tak sempat jual kayu curi

 Kilang papan tak sempat jual kayu curi

Muhammad Firdaus (dua dari kiri) menyita mesin belah kayu milik kilang papan yang memiliki balak curi.

Oleh Mohd Fikri Mie

TEMERLOH, 8 April – Cubaan sebuah kilang papan memproses seterusnya memasarkan kayu bergergaji tanpa permit tidak kesampaian apabila terlebih dahulu diserbu pihak berkuasa, kelmarin.

Serbuan dilakukan anggota
Seksyen Penguatkuasan Hutan Jabatan PerhutananĀ Negeri Pahang (JPNP) menemui empat batang balak termasuk sembilan ikat kayu bergergaji spesies jelutong dan merbau pelbagai saiz bernilai lebih RM50,000.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Zon Pahang Timur JPNP, Muhammad Firdaus Abdul Kadir @ Yusof berkata, kejayaan itu susulan Ops Kilang yang turut memeriksa 22 kilang papan di daerah ini bagi mengesan kegiatan menerima balak curi daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Anggota penguatkuasa menyita kayu jelutong bergergaji di kilang papan yang menggunakan balak curi.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan kilang tersebut tidak beroperasi kerana mungkin sudah mengesan kehadiran anggota penguatkuasa JPNP yang turut disertai pasukan polis.

Katanya, tindakan tegas dikenakan dengan menyita tiga longgok kayu bergergaji termasuk dua unit mesin yang digunakan untuk melakukan kerja membelah kayu terbabit.

“Semua kayu yang disita difahamkan untuk pasaran tempatan, nilai semunya lebih RM50,000.Siasatan sedang dilakukan bagi mengetahui lokasi balak diambil serta dalang utama membawa masuk ke kilang terbabit.

“Pemeriksaan pas memindah dan buku rekod kemasukan balak ke kilang berkenaan tidak terdapat senarai kayu jenis jelutong dan merbau. Hasilnya kegiatan itu terbongkar,” katanya.

Beliau yang turut sama menyertai serbuan itu berkata, pemeriksaan tidak menemui sebarang kesan tukul tanda hasil atau tukul pengklasan yg ditanda pada permukaan kayu jelutong yg disita.

Anggota penguatkuasa menyita empat batang balak spesies jelutong
milik kilang papan terbabit.

Katanya, pihaknya perlu bertindak tegas dalam memastikan semua kilang papan di negeri ini patuh dengan peraturan yang sedia ada bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Muhammad Firdaus berkata, pemilik kilang papan jangan fikir boleh terlepas, sekiranya terbukti bersalah mereka akan dikenakan kompaun mengikut Enakmen Industri Berasas Kayu 1985, balak dan kayu bergergaji serta kilang akan disita.

“Dalam ops kilang yang diadakan selama tiga hari, 12 kilang papan dikenakan amaran keras kerana rekod kemasukan balak ke kilang tidak lengkap dan berlaku beberapa kesalahan.

“Terdapat 64 kilang papan di daerah ini termasuk Bera dan Ops Kilang yang diadakan susulan aduan orang awam yang mendakwa terdapat kilang papan menerima balak curi,” katanya yang akan meluaskan operasi itu ke seluruh negeri ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  5  =