Kilang kitar semula tiada sijil EIA disita

 Kilang kitar semula tiada sijil EIA disita

Sebuah kilang kitar semula barang-barang plastik terpakai disita kerana beroperasi tanpa sijil kelulusan laporan EIA di Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, Simpang Renggam, Kluang, semalam

Oleh Nurman Nasyriq

KLUANG, 27 Feb: Sebuah kilang kitar semula di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Simpang Renggam di sini yang sering menjadi punca pencemaran bunyi dan bau, didapati beroperasiĀ  tanpa ada sijil kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Kegiatan kilang barang-barang plastik terpakai itu terbongkar apabila wakil Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Pejabat Tanah Daerah, Pejabat Daerah dan polis membuat pemeriksaan semalam.

Pemeriksaan itu dibuat selepas mendapat aduan penduduk setempat dan lebih mengejutkan mereka apabila kilang itu sudah tiga tahun beroperasi tanpa sijil EIA.

Menurut Pegawai DUN Layang-Layang, Mohd Hafiz Abdul Shukur, susulan itu kilang tersebut disita dan MBSR memberi arahan kepada pemiliknya untuk mengemukakan laporan EIA daripada JAS dalam masa 30 hari.

“Notis arahan penggantungan sementara bagi tempoh 30 hari atau sehingga tempoh yang akan dipertimbangkan setelah laporan EIA daripada JAS diluluskan,” katanya selepas membuat tinjauan tersebut.

Beliau berkata, ketika diperiksa kilang terbabit hanya mempunyai lesen sementara berkaitan aktiviti kitar semula yang dijalankan.

Dalan pada itu, beliau berkata, pemeriksaanĀ tersebut dilakukan selepas penduduk setempat mengadu aktiviti kilang tersebut sering mengganggu mereka.

“Kilang ini didapati mengeluarkan bunyi bising sepanjang waktu operasi bermula dari awal petang hingga awal pagi dan turut mengeluarkan bau tidak menyenangkan.

“Pihak MDSR masih menjalankan siasatan terperinci terhadap kilang berkenaan sebelum satu tindakan susulan dapat dilakukan bagi mengelakkan masalah sama berulang pada masa depan.

“Diharapkan dengan tindakan ini dapat melegakan penduduk kampung yang terkesan akibat bau dan kacau ganggu pada waktu malam sejak kilang ini beroperasi,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

67  +    =  74