Khemah sementara untuk peniaga di Pasar Dato Keramat berniaga sepanjang Ramadan

 Khemah sementara untuk peniaga di Pasar Dato Keramat berniaga sepanjang Ramadan

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 24 Mac  — Sebuah khemah besar dicadang untuk  dipasang buat sementara di tapak deretan gerai di Pasar Dato Keramat yang terbakar pada Rabu lepas,  bagi  membolehkan  peniaga yang terkesan dan berminat berniaga meneruskan perniagaan mereka sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata bagi tujuan itu kawasan tapak gerai berkenaan akan mula dibersihkan oleh kontraktor bermula Jumaat ini bagi membolehkan kerja-kerja  menyediakan tapak khemah dilakukan.

“Kita mahu bersihkan semua sekali termasuk gerai separa terbakar dan yang tidak terbakar kerana kawasan ini telah diisytiharkan tidak lagi sesuai untuk diduduki dan proses ini dijangka mengambil masa dua minggu untuk diselesaikan.

Saya dapat maklum ada 24 daripada 49 peniaga yang terlibat bercadang untuk berniaga sepanjang Ramadan ini. Khemah yang besar akan dipasang dan di bawahnya diberikan tapak-tapak kecil yang berkeluasan 100 kaki persegi (9.3 meter persegi), tapi mungkin ada ruang lagi untuk orang lain berniaga,” katanya.

Annuar berkata demikian pada sesi perjumpaan bersama penjaja dan peniaga kedai yang terbakar di Pasar Dato Keramat yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan, hari ini.

Dalam kejadian 17 Mac lepas, lebih 40 gerai di Pasar Dato Keramat, di sini, terbakar namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Mengulas lanjut, Annuar bagaimanapun berkata operasi perniagaan di bawah khemah itu hanya dibenarkan selama sebulan sehingga Hari Raya Aidifitri bagi membolehkan kontraktor memulakan pembinaan 50 petak gerai separuh kekal di tapak berkenaan.

“Kita bagi masa kepada pemaju tidak lebih dari empat bulan  dan apabila ia siap peniaga yang terlibat boleh masuk berniaga semula.

Bagi empat bulan itu sekiranya ada tapak berniaga di tempat lain atau mana-mana tempat yang tidak mengganggu orang, trafik dan peniaga mahu berniaga, kita akan timbang mengikut kes dan berikan keutamaan untuk mereka berniaga sementara,” katanya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  2  =