Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Khairy lawat PPV Hospital Uitm

(Gambar Fail) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) melawat Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Shah Alam. WMY/SUPIAN AHMAD
SHAH ALAM, 7 Jun — Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin hari ini melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Universiti Teknologi Mara disini.
Beliau meluangkan masa meninjau proses pemberian vaksin kepada orang ramai dan melihat fasiliti serta kemudahan lain yang disediakan di PPV berskala mega itu.
PPV HUiTM mula beroperasi hari ini dan dijangka menerima seramai 5,000 penerima vaksin setiap hari.
Sementara itu, penerima vaksin warga emas Low Hyu Hong, 74 berkata beliau bangga kerana menjadi antara yang terawal menerima vaksin di PPV HUiTM.
Mengakui dirinya takut dengan jarum suntikan, Low berkata beliau tetap memberanikan diri kerana menganggap tindakannya itu satu sumbangan kepada negara.
“Saya sudah tua, tidak banyak boleh bantu petugas barisan hadapan, saya tidak mampu berbuat apa-apa.
” Tetapi saya boleh beranikan diri untuk dapatkan vaksin, saya harap ini dapat memberi sedikit ketenangan kepada petugas barisan hadapan, ini saja saya mampu tolong mereka,” katanya.
Low yang hadir bersama anaknya berkata mereka terpaksa datang jauh dari Cheras, namun demi rasa tanggungjawab, Low tetap hadir untuk temujanji mendapatkan vaksin.
“Saya sangat takut jarum, semalam saya tidak boleh tidur tetapi saya tahu saya mesti kuat,” katanya.
Low antara 500 orang penerima awal vaksin yang hadir di PPV HUiTM fasa pertama hari ini.
