Keselamatan siber: Program Matrix tumpu empat bidang pelaksanaan bantu PKS

 Keselamatan siber: Program Matrix tumpu empat bidang pelaksanaan bantu PKS

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR, 29 Jun — Program keselamatan siber MATRIX untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tumpu empat bidang pelaksanaan sebagai penyelesaian keselamatan siber dalam mengurus cabaran era ekonomi digital.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bidang berkenaan terdiri daripada pemantauan keselamatan siber 24/7 (setiap masa), perlindungan aset kritikal, tandatangan digital untuk keselamatan dan kecekapan serta penyemakan imbas web yang selamat.

“Inilah masanya bagi rakan PKS untuk mengutamakan serta memanfaatkan keselamatan siber sebagai kelebihan daya saing dalam usaha meningkatkan kepercayaan dan kepuasan pengguna,” katanya semasa melancarkan program itu di Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber 2021 (CYDES 2021) yang diadakan secara maya, semalam.

Beliau berkata inisiatif itu bertepatan susulan peningkatan jumlah PKS yang memanfaatkan platform e-dagang bagi menjana pendapatan dan mempertahankan perniagaan daripada risiko ancaman siber.

Ismail Sabri berkata program ini adalah hasil kerjasama Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) serta rakan teknologi tempatan.

Ketua Pegawai Perniagaan Digital MDEC Aiza Azreen Ahmad berkata sasaran jangka panjang MATRIX adalah melibatkan dan membolehkan 10,000 syarikat PKS tempatan mempunyai kemampuan keselamatan siber serta berdaya saing dalam ekonomi digital.

Memetik laporan Perbadanan Data Antarabangsa (IDC), beliau berkata Malaysia pada masa ini menduduki pasaran kedua terbesar di ASEAN dan perbelanjaan keselamatan siber Malaysia dijangka terus meningkat sekitar RM4 bilion pada 2024.

Bertema Embedding Resilience Within Our Cyberspace, CYDES 2021, yang berlangsung hari ini sehingga 30 Jun, dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatam Siber Negara (NACSA).

 

 

 

 

— BERNAMA

 

 

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11  +    =  20