Keselamatan ruang siber negara tanggungjawab bersama

 Keselamatan ruang siber negara tanggungjawab bersama

Datuk Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA, 29 Jun — Semua pihak harus bekerjasama bagi mengukuhkan ekosistem keselamatan siber negara.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah ia boleh dicapai dengan memperkemaskan tadbir urus berlandaskan piawaian serta amalan terbaik keselamatan siber, meningkatkan kemahiran dan kepakaran, berkongsi maklumat bagi merangka strategi dan prosedur keselamatan siber yang lebih efektif.

Tambah Saifuddin lagi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama agensinya CyberSecurity Malaysia sentiasa bertindak secara proaktif dan komited bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan ruang siber negara.

“CyberSecurity Malaysia melalui program SiberKASA telah menghasilkan sebanyak 35 produk dan perkhidmatan keselamatan siber meliputi Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, Perkhidmatan Proaktif Keselamatan Siber, Jangkauan dan Pembangunan Kapasiti, Kajian Strategik dan Penglibatan serta Pembangunan Industri dan Penyelidikan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata produk dan perkhidmatan berkenaan juga telah diklasifikasikan di bawah tiga komponen iaitu manusia, proses dan teknologi sebagai pendekatan holistik untuk membangun, memperkasa, melestari dan mengukuhkan prasarana serta ekosistem keselamatan siber di Malaysia.

“Di era teknologi digital hari ini, keselamatan siber menjadi lebih berisiko dan rumit kerana semakin berkembang teknologi maka semakin kompleks dan sofistikated ancaman serta serangan siber yang berlaku.

“Penjenayah siber juga lebih aktif, berani dan semakin canggih malah mereka menggunakan kaedah baharu, teknik serta taktik yang lebih berkesan untuk melancarkan sesuatu ancaman dan serangan siber sehingga ia berupaya memberi impak negatif terhadap pembangunan negara serta menggugat kesejahteraan dan keharmonian rakyat,” katanya.

Kenyataan Saifuddin itu adalah bagi menyahut saranan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber 2021 (CYDES 2021) semalam.

Muhyiddin mahu keselamatan siber menjadi bidang tumpuan utama kerajaan yang harus diberi perhatian wajar oleh semua pihak bagi membanteras ancaman dan jenayah siber.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *