• Sunday, 20 June 2021, 8:41 am

Kesan PKP terhadap ekonomi dan pekerjaan

 Kesan PKP terhadap ekonomi dan pekerjaan

 

Oleh Dr Zulkiply Omar

KERAJAAN mengisytiharkan sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 1-14 Jun 2021. Ini berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin serius.

Ini merupakan penutupan penuh fasa pertama selama 14 hari. Penutupan penuh ini berkemungkinan dilanjutkan bergantung kepada keberkesanan fasa pertama.

Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang telah disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ramai sedia maklum, tindakan ini dijangka memberi kesan buruk terhadap ekonomi yang baharu sahaja menunjukan tanda-tanda pemulihan. Tidak dapat dinafikan ini adalah tindakan yang wajar diambil demi mengekang penularan wabak COVID-19.

Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh pada kadar di antara 6.0 dan 7.5 peratus tahun ini. Laporan suku pertama 2021 menunjukkan ekonomi berada di landasan yang betul dengan merekodkan penguncupan yang lebih perlahan sebanyak 0.5 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Pertumbuhan ini dipelopori terutamanya oleh sektor pembuatan yang berkembang pada kadar 6.6 peratus pada suku pertama 2021. Pertumbuhan sektor pembuatan ini pula didorong permintaan luar negara yang mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Eksport suku pertama 2021 merekodkan pertumbuhan 11.9 peratus, walaupun permintaan domestik masih lemah.

Kesemua komponen perbelanjaan domestik masih merekodkan pertumbuhan negatif kecuali perbelanjaan kerajaan yang tumbuh sebanyak 5.9 peratus.

Perkembangan ini menunjukkan langkah kerajaan membuka sektor ekonomi selepas PKP penuh yang pertama tahun lalu untuk menggalakkan pengeluaran disokong oleh perbelanjaan fiskal kerajaan telah memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) juga menunjukan pertumbuhan positif. Dalam pada itu, Indeks Pelopor (IP) untuk Mac 2021 menunjukkan peningkatan 17.3 peratus setahun. Kesemua petunjuk ini membayangkan ekonomi negara akan terus mengukuh untuk suku kedua dan suku-suku berikutnya.

Namun, sekatan penuh PKP kali ini dilihat menjadi batu penghalang kepada momentum pertumbuhan yang sedang bersinar.

Kesan langsung penutupan ekonomi adalah kehilangan pekerjaan di kalangan sektor yang terlibat. Majikan yang terpaksa menghentikan operasi sudah tentu tiada pilihan melainkan mengurangkan bilangan pekerja melainkan jika mereka diberi insentif oleh kerajaan supaya tidak memberhentikan pekerja.

Walau bagaimanapun, bagi sektor yang mampu meneruskan operasi melalui kaedah bekerja dari rumah boleh mengekalkan pekerja mereka. Namun, majoriti sektor pembuatan tidak sesuai dengan kaedah sedemikian. Malangnya, sektor pembuatan merupakan enjin pertumbuhan ekonomi terutama yang membabitkan pasaran eksport seperti terbukti oleh statistik suku pertama.

Mengambil iktibar dari penutupan penuh PKP yang pertama untuk tempoh 18 Mac sehingga 12 Mei 2020, ianya memberi kesan negatif terhadap pasaran buruh. Kadar pengangguran untuk suku pertama 2020 yakni sebelum PKP adalah 3.5 peratus. Melalui fasa PKP pengangguran telah meningkat dengan mendadak pada suku kedua 2020 merekodkan 5.1 peratus.

Namun demikian, kadar pengangguran walaupun masih tinggi, telah stabil pada kadar 4.8 peratus sehingga suku pertama tahun ini. Perlu diingat bahawa kadar pengangguran yang agak rendah ini walaupun dengan adanya PKP adalah disokong oleh pakej rangsangan kerajaan. Tanpa perbelanjaan fiskal ini kadar pengangguran dijangka lebih teruk dan pemulihan ekonomi akan lebih perlahan.

Penutupan penuh PKP kali ini dijangka akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran seperti yang dialami oleh penutupan penuh PKP tahun lepas. Tanpa sebarang pakej rangsangan, mungkin kesannya lebih serius.

Oleh itu, pakej rangsangan kerajaan dilihat satu-satunya harapan untuk membendung dari kemelesetan ekonomi berpanjangan.
Namun, diketahui umum bahawa kerajaan kini mempunyai ruang fiskal yang sempit untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi. Hutang kerajaan berada di tahap yang tinggi berhak dikibarkan bendera amaran. Malangnya, perbelanjaan fiskal adalah satu-satunya alat dasar yang sesuai untuk rangsangan ekonomi di dalam situasi sekarang. Inilah dilema yang perlu dihadapi.

Tanpa pakej rangsangan, pertumbuhan ekonomi akan tergugat dan ini akan memanjangkan lagi tempoh kemelesetan ekonomi dan lebih ramai rakyat akan hilang daya tahan untuk mengharungi kesukaran ini.

Strategi yang harus dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk memendek dan mengecilkan kemelesetan ekonomi melalui perbelanjaan fiskal yang efisien. Ini boleh dilaksanakan dengan memberi penekanan terhadap tiga perkara, iaitu meningkatkan keupayaan fiskal kerajaan, melaksanakan rangsangan ekonomi bersasar dan mempercepatkan vaksinasi untuk COVID-19.

Ruang fiskal yang sempit menghadkan keupayaan kerajaan melaksanakan pakej rangsangan. Kemelesetan ekonomi sudah tentu mengurangkan hasil cukai. Manakala hutang kerajaan berada di tahap yang agak runcing, namun ianya masih boleh dilakukan dengan lebih berhemah.

Namun demikian, satu sumber yang tidak konvensional untuk meningkatkan kewangan kerajaan perlu diberi perhatian di waktu kemelesetan ekonomi, iaitu melalui peningkatan kecekapan perbelanjaan. Ini tidak lain dari pendekatan fesyen lama, jimat cermat!

Namun penjimatan ini perlu dilaksanakan dengan efisien bukan semata-mata dengan pemotongan kos tetapi adalah dengan mengelakkan pemborosan. Ini boleh dicapai melalui reformasi. Inilah masanya untuk menilai kembali jentera perlaksanaan awam. Segala ketirisan, redundensi dan pembaziran perlu dihapuskan. Pendekatan ini sudah pasti mampu sedikit sebanyak meningkatkan kewangan kerajaan yang boleh disalurkan ke arah penggunaan yang lebih efektif.

Kedua, laksanakan rangsangan ekonomi bersasar. Ianya perlu berdasarkan premis memaksimumkan pertumbuhan ekonomi sambil meminimumkan kesengsaraan rakyat. Rakyat yang hilang sumber pendapatan perlu diuruskan secara langsung.

Sektor yang memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi perlu disokong. Justeru, penutupan sektor pembuatan perlu dirancang dengan teliti supaya mendapat penyelesaian yang optimum.

Bagi sektor yang tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kontemporari pula perlu diuruskan dengan pendekatan yang berbeza. Ini terutamanya sektor perkhidmatan yang berorientasikan domestik seperti pelancongan. Kedua-dua pehak, majikan dan pekerja, perlu dibela. Kerajaan perlu memberi galakan kepada usahawan yang berinovatif. Umpamanya, dengan memberi geran sepadan (matching grant) kepada usahawan yang mempunyai cadangan aktiviti untuk menyelamatkan syarikat dan pekerja mereka.

Walau apa sekali pun pendekatan untuk meringankan beban rakyat mengharungi situasi pandemik ini, usaha vaksinasi perlu dipercepatkan. Ianya bukan opsyen tetapi suatu kemestian untuk mendapatkan imuniti berkelompok. Perlu diingat pencapaian unjuran pertumbuhan ekonomi adalah berdasarkan kepada kejayaan vaksinasi. Kegagalan vaksinasi akan menyumbangkan kepada risiko pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Pertumbuhan ekonomi yang perlahan pula akan memanjangkan lagi kesengsaraan rakyat jelata.

Oleh itu vaksinasi adalah kunci bukan sahaja untuk mencegah jangkitan COVID-19 bagi setiap individu malah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi.

Penulis ialah Pengarah Urusan ECONSULT, Economic Consulting Sdn Bhd (zulkiplyomar@econsult.my / zulkiply@unirazak.edu.my) dan Adjuct Professor UNIRAZAK.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *