Kesan peningkatan kes: Sistem amaran berisiko tinggi akan diperkenal – KJ

 Kesan peningkatan kes: Sistem amaran berisiko tinggi akan diperkenal – KJ

Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Nov — KKM akan memperkenalkan Sistem Amaran Berisiko Tinggi bagi mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 dalam negara.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata menerusi sistem tersebut KKM mencadangkan beberapa sektor diperketat sekiranya didapati berlaku peningkatan kes namun ia bukan sekatan pergerakan penuh.

“Saya akan umumkan perkara itu termasuk perincian dalam situasi bagaimana sistem ini akan diguna pakai. Mungkin dalam masa seminggu atau dua minggu ini saya akan maklumkan.

“Kalau boleh kita mahu elak sekatan pergerakan, sebab sekatan pergerakan ini bukan hanya mengganggu ekonomi tetapi memberi kesan yang lain, kesan kesejahteraan keluarga dan kesihatan mental, saya rasa rakyat mungkin tidak boleh menghadapi satu lagi sekatan pergerakan,” katanya memetik laporan Bernama pada Ahad.

Khairy berkata setakat ini keadaan sistem kesihatan KKM terkawal namun tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 sudah ada dan beliau mengingatkan orang awam tidak terlalu selesa terutama di negeri-negeri yang berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.

“Kita sangat bimbang kerana sudah nampak tanda-tanda awal (kes jangkitan tinggi), KKM nampak perkara ini dari tahun lepas dan memang berlaku. Sistem kesihatan belum sampai ke tahap lumpuh namun tanda kebimbangan amat jelas,” katanya.

Beliau berkata perkara yang dibimbangkan adalah peningkatan kes yang serius sehingga kemasukan ke hospital terutama kes kritikal kategori empat dan lima.

Menurut Khairy mengambil contoh di Negeri Sembilan, kes kemasukan ke hospital meningkat sekali ganda dalam tempoh sebulan iaitu 35 pesakit memerlukan bantuan oksigen pada 25 Okt lepas berbanding 70 pesakit.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *