• Sunday, 20 June 2021, 12:30 pm

Kes kematian libatkan kes sporadik tunjuk trend peningkatan mingguan

 Kes kematian libatkan kes sporadik tunjuk trend peningkatan mingguan

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Negara berhadapan dengan trend peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 dan kes-kes kematian COVID-19 terutamanya selepas 1 April 2021.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keadaan ini amat membimbangkan kerana majoriti kes baharu COVID-19 dan kes kematian COVID-19 adalah merupakan kes-kes-kes sporadik ketika ianya dilaporkan.

“Kes sporadik bermakna kes yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada,” katanya.

Berdasarkan analisa yang dijalankan, jumlah kumulatif kes baharu COVID-19 yang dilaporkan antara 28 Mac hingga 3 April 2021 adalah sebanyak 8,968 kes dengan 52.0 peratus adalah kes sporadik.

Sementara itu antara 9 Mei hingga 15 Mei 2021, jumlah kes baharu COVID-19 pula adalah sebanyak 29,386 kes dengan 77.7 peratus adalah kes sporadik.

“Antara 23 mei hingga 29 Mei 202, sebanyak 53,419 kes direkodkan dengan 85.1 peratus adalah merupakan kes sporadik,” katanya.

Kes kematian melibatkan kes sporadik turut menunjukkan trend yang meningkat dari minggu ke minggu.

Terbaharu, antara 30 mei hingga 5 Jun 2021, KKM merekodkan sebanyak 641 kes kematian akibat COVID-19 dengan 559 kes adalah kes sporadik.

“Antara faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah berikutan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian yang lebih tinggi, selain penularan COVID-19 secara lebih meluas di dalam komuniti berbanding sebelum ini,” katanya.

KKM menyeru masyarakat untuk mengambil serius situasi ini di mana penularan COVID-19 adalah di dalam komuniti termasuklah tempat beli belah, tempat kerja, dan sebagainya.

“Masyarakat perlu faham bahawa sesiapa sahaja boleh dijangkiti COVID-19 tidak kira di mana mereka berada.

“Akibatnya, kita dapat melihat peningkatan kes-kes sporadik dan kematian akibat kes-kes sporadik ini di dalam komuniti,” katanya.

KKM turut meminta supaya masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP).

Lindungilah diri, keluarga, dan komuniti dalam memerangi pandemik ini.

Semua pihak perlu sama-sama memainkan peranan yang penting dalam membantu kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara.

Tanggungjawab kini di atas bahu kita semua untuk menjaga diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, dan negara kita.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *