Kes Iki Putra beri implikasi besar kepada perundangan syariah negara

 Kes Iki Putra beri implikasi besar kepada perundangan syariah negara

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 25 Feb:
Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Bin Mubarak melawan Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini akan memberi implikasi besar kepada perundangan syariah di negara ini.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berpendapat khususnya imolikasi akan melibatkan perkara berhubungan kesalahan-kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kesalahan/Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

Musa Awang, Presiden PGSM

Presiden PGSM, Musa Awang dalam satu kenyataan hari ini berkata: “Keputusan tersebut bermaksud bahawa Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan berhubung kesalahan jenayah syariah sekiranya telah wujud peruntukan yang hampir sama dalam undang-undang Persekutuan yang digubal oleh Parlimen, walaupun kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama,” katanya.

Beliau berkata, keputusan tersebut akan membuka ruang kepada mana-mana pihak lain untuk mencabar peruntukan-peruntukan lain yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

“Keputusan tersebut menunjukkan bahawa selagi mana ada peruntukan tentang sesuatu kesalahan jenayah dalam undang-undang Persekutuan, maka sukar untuk negeri mengadakan atau menggubal peruntukan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah walaupun kesalahan itu adalah dalam kategori kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap “perintah agama” itu,” katanya.

Selain itu, Musa juga berpendapat keputusan Mahkamah Persekutuan itu juga merupakan gambaran awal “menutup pintu” kepada cadangan untuk melaksanakan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini.

“Ini kerana kesalahan hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga terdapat dalam Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru, PGSM menggesa Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berautoriti mengambil tindakan secara drastik dan holistik untuk melihat dan mengkaji semula semua peruntukan undang-undang jenayah Syariah yang sedia ada, bagi memastikan undang-undang jenayah syariah tidak lagi dicabar dan menjadi mangsa untuk diperkotak-katikan oleh pihak-pihak tertentu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

31  −  21  =