COVID-19 : Kes turun di bawah angka 3,000

 COVID-19 : Kes turun di bawah angka 3,000

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Malaysia merekodkan penurunan kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan 2,464 kes iaitu penurunan sebanyak 1,035 kes daripada 3,499 semalam.

Ini adalah kali kedua Malaysia mencatat kes baharu kurang daripada 3,000 dalam bulan ini apabila mencatat sebanyak 2,764 kes pada 9 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mencatat kes sembuh COVID-19 paling tinggi dalam tempoh 24 jam lepas dengan 4,525 orang dilapor sembuh daripada penyakit yang menjadikan jumlah kes sembuh di seluruh negara setakat ini ialah 213,814 kes.

Jumlah kumulatif kes di seluruh negara setakat ini adalah 264,269 dengan kes aktif 49,490, katanya dalam satu kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, tujuh kematian akibat COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kes kematian sebanyak 965 orang.

Katanya, tujuh kematian yang direkodkan adalah warga negara termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun dengan penyakit medulloblastoma, sementara kes lain melibatkan individu berusia lingkungan 52 hingga 83 tahun yang turut mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,461 merupakan penularan tempatan dan tiga adalah kes import.

Sementara itu, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 1,103 kes, diikuti Johor (492), Sarawak (161), Kuala Lumpur (154), Sabah (116), Kedah (92), Kelantan (88), Perak (85), Pulau Pinang (56), Terengganu (51), Negeri Sembilan (40), Melaka (11), Pahang (10), Labuan (satu) dan Putrajaya (empat), manakala Perlis tiada kes.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kluster COVID-19 di negara ini kini sebanyak 983 dengan 484 kluster aktif.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  6  =