Kes anak angkat banyak membelakangi undang-undang?

 Kes anak angkat banyak membelakangi undang-undang?

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Amalan pengangkatan (mengambil anak angkat) bukan perkara baharu di Malaysia sama ada secara formal atau sebaliknya.

Malahan undang-undang berkaitan anak angkat sudah wujud sejak 1952 melalui Akta 257, Akta Pengangkatan 1952.

Peruntukan undang-undang lain melibatkan pengangkatan kanak-kanak termasuk Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952, Akta Pengangkatan 1952, Akta Kanak-Kanak 2001, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri serta Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2015.

Pelbagai akta diwujudkan bertujuan menjaga hak kanak-kanak daripada isu berkaitan seperti pendaftaran, pengangkatan, nafkah, penderaan dan sebagainya.

Namun sehingga kini, negara kita tidak lekang dengan berita kes pengangkatan yang melanggar undang-undang.

Terkini, pada 29 Januari lalu, negara dikejutkan dengan kes kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia ketika di rumah ibu bapa kandung setelah diserahkan semula oleh keluarga angkat beberapa bulan sebelumnya.

Semakan Wacana.my mendapati, kanak-kanak malang itu tidak melalui proses pengangkatan yang ditetapkan undang-undang malah tidak ada sebarang dokumentasi mengesahkan pengangkatannya.

Apabila perkara yang tidak diingini berlaku, siapakah yang perlu dipersalahkan? Adakah Ibu Angkatnya cuai sehingga menyerahkan kanak-kanak itu kepada dewasa yang tidak kompeten menjaga kanak-kanak?

Wacana.my menemubual aktivis sosial kanak-kanak yang telah lebih lima tahun berkecimpung membantu kes pengangkatan kanak-kanak secara formal.

Naib Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Kami, Ku Noor Amarah Ku Amir berkata, isu berkaitan pengangkatan kanak-kanak adalah isu yang amat berat dan membimbangkan semua pihak terlibat.

Ku Noor Amarah Ku Amir bersama suami Muhammad Aminuddin Hassan dan dua anak angkat mereka Aariz dan Aaira

“Maksud saya, dalam pengangkatan kanak-kanak terdapat tiga pihak iaitu ibu kandung dan bapa kandung jika pasangan berkahwin secara sah, ibu bapa angkat dan kanak-kanak itu sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kebanyakan keluarga angkat memilih pengangkatan secara tidak formal dan ini menjadi punca kebanyakan masalah yang timbul.

“Selain itu, terdapat kelemahan di pihak agensi berkaitan kerana kes pengangkatan yang tidak mengikuti proses undang-undang tiada tindakan tegas oleh pihak terbabit,” katanya.

Sebagai contoh, Ku Noor menimbulkan tanda tanya bagaimana seorang selebriti media sosial yang dikategorikan sebagai transgender (lelaki berperwatakan wanita) secara terbuka mengaku mengambil dua orang anak angkat iaitu seorang lelaki dan seorang lagi perempuan.

“Sedangkan secara terang syarat untuk seorang lelaki bujang (transgender atau tidak) ialah mereka tidak dibenarkan mengambil anak angkat perempuan.

Selain itu, ada seorang penyanyi lelaki berstatus bujang juga secara terang-terangan mengaku mengambil anak angkat perempuan. Soalnya bagaimana pihak yang dipertanggungjawabkan dalam hal ini boleh membiarkannya,” tanya Ku Noor.

Selain itu, ada aduan seorang pengasas produk kecantikan mencubit anak angkatnya di dalam sebuah video yang menjadi tular, namun sehingga kini kanak-kanak bukan warga negara itu masih di bawah jagaan selebriti tersebut.

“Pernah seorang selebriti lain terpaksa menyerahkan kembali anak angkatnya kepada ibu kandung atas alasan pekerja beliau telah mencederakan anak tersebut, dan kerana proses pengangkatan berlaku tanpa melalui peruntukan undang-undang yang ada, selebriti tersebut menyerahkan kanak-kanak itu kembali, bukankah itu boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut keliru dan mungkin trauma,” tanya Ku Noor lagi.

Dengan contoh kes yang disebut, Wacana.my telah mengajukan soalan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun sehingga hari ini tiada sebarang jawapan diberikan walaupun pihak JKM mengakui telahmenerima soalan dari pihak media.

Apakah JKM akan terus membisu terhadap kes pengangkatan yang dilakukan dengan membelakangkan undang-undang sedia ada?

Ikuti laporan susulan kami bagaimana kelompongan ini membuka ruang kepada kejadian kes lain.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  4  =