Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Kertas siasatan kes ADUN Sedeli sudah dilengkapkan

JOHOR BAHRU, 26 Januari – Polis negeri ini sudah menyerahkan kertas siasatan kes gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Rasman Ithnain terhadap seorang wanita ke Pejabat Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan melibatkan mangsa yang merupakan Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah pun dilengkapkan.
“Kertas siasatan sudah kita majukan kepada bahagian perundangan dan mereka akan meneliti serta buat kajian hasil siasatan yang kita jalankan. Kita masih menunggu keputusan.
“Polis sudah melakukan siasatan terhadap 11 individu termasuk ADUN tersebut dan mangsa sendiri,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, di sini hari ini.
Laporan polis terhadap Rasman dibuat mangsa yang berusia 26, pada 17 Januari lalu sebelum tular dalam media sosial yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit semasa terlibat dalam aktiviti bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar baru-baru ini.
Pada 18 Januari lalu, Rasman menafikan tuduhan beliau melakukan gangguan seksual terhadap wanita berkenaan.
Rasman yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya. – ENDS
Habis