Kerjasama industri kreatif negara diperlukan segera

 Kerjasama industri kreatif negara diperlukan segera

Oleh Zuan Azmi

SEJAK pandemik COVID-19 melanda, perjalanan industri kreatif di Malaysia terbantut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac 2020.

Paling menyukarkan, mereka yang bekerja dalam industri kreatif  tidak dapat mencari rezeki kerana hampir kesemua aktiviti melibatkan industri kreatif tidak dibenarkan kecuali penyiaran media sama ada media digital serta media tradisional sedia ada. Jika dilihat dalam tempoh beberapa minggu lalu, keadaan buat industri kreatif sedikit tegang, terutamanya di antara penggiat seni, persatuan-persatuan dan agensi kerajaan yang berkenaan.

Namun kini keadaan beransur reda selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah mengumumkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif (PRISMA).

PRISMA adalah langkah jangka pendek bertujuan menjamin kelangsungan dan kelestarian penggiat seni dan pemain industri kreatif dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

Impak daripada pakej ini bukan sedikit, dan bakal dirasai seluruh industri kreatif. Dijangkakan lebih 9,000 penggiat industri ini akan menerima manfaat PRISMA menerusi 32 program yang merangkumi empat kategori iaitu filem, muzik, kandungan kreatif digital dan seni visual, persembahan serta kraf dengan anggaran sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan.

Usaha ini ternyata menunjukkan keprihatinan Dato’ Saifuddin dalam menerajui KKMM yang ternyata mendengar keluh kesah penggiat seterusnya mencari solusi bagi membantu mereka dalam menempuhi situasi yang penuh mencabar ini.

Pelbagai usaha yang baik telah digerakkan oleh KKMM dan agensi dibawah KKMM itu sendiri. Namun ikhtiar kerajaan sahaja tidak memadai, dan sudah semestinya usaha ini perlu kerjasama dari semua pihak khasnya pihak persatuan penggiat seni kreatif .

Sebelum munculnya pandemik, perkembangan industri kreatif nampak positif jalannya. Dengan keterbukaan perkhidmatan penstriman antarabangsa seperti Netflix dan Viu telah membuka ruang seterusnya mengambil hasil karya tempatan untuk dipaparkan dan dapat dilihat diperingkat antarabangsa.

Negara kita mempunyai pelbagai bakat dalam bidang ini. Sejak beberapa dekad lalu, menyaksikan bakat Malaysia sudah ramai yang melangkah ke persada dunia. Dalam industri muzik, penyanyi Yuna kini bermastautin di Amerika, dan mendapat tempat yang baik dalam carta muzik di sana. Malah Yuna berkolaborasi dengan bintang hebat seperti Usher. Penyanyi rap Joe Flizzow pula ikon genre muzik hip-hop di peringkat Asia.

Dalam industri perfileman, bakat lakonan hebat Tan Sri Michelle Yeoh sudah berada satu tahap tertinggi di persada antarabangsa dan telah lama menembusi Hollywood itu sendiri. Malah kini giliran pelakon lelaki dari Sarawak, Henry Golding pula melebarkan sayap ke sana. Henry mula menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi lakonan hebatnya dalam filem Crazy Rich Asians dan ternyata tuahnya tidak terhenti di situ sahaja. Selepas filem itu, Henry terus mencipta nama di Hollywood dengan membintangi filem A Simple Favor bergandingan dengan aktres kelas A seperti Anna Kenderick dan Blake Lively. Kemudian Henry membintang satu lagi filem Hollywood yang berjaya iaitu Last Christmas bergandingan dengan Emilia Clarke, Emma Thompson dan Michelle Yeoh sendiri.

Ternyata bakat bukan sesuatu perkara yang menjadi kebimbangan buat industri kreatif negara ketika ini.

Menurut pelakon dan penerbit yang semakin menempa nama di persada antarabangsa, Bront Palarae, masalah penggiat industri kreatif buat masa ini adalah kekurangan aliran tunai yang amat dirasai, biarpun bukan hanya industri kreatif, malah dalam sektor-sektor lain turut merasainya.

Bront sewaktu penggambaran filem Rajah terbitan Margarate House Films. Kredit gambar Jane Chang

Kerisauan Bront lagi, perniagaan dalam industri kreatif juga tidak sempat dan mampu bertahan sekiranya bayaran untuk karya terbitan penggiat seni hanya diperolehi selepas tempoh tiga bulan.

Bront berkata, solusi untuk masalah ini adalah dengan mempercepatkan pelepasan pembayaran agar aliran tunai dalam industri  kreatif terus berjalan dengan transaksi antara penerbit, vendor dan pekerja seterusnya nadi ekonomi industri kreatif terus berdenyut walaupun dilanda pandemik COVID-19 ketika ini.

Menurut Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), 93 peratus daripada golongan artis dan pekerja seni dan budaya terkesan secara negatif oleh COVID-19 dan 70 peratus daripada mereka hampir atau hilang punca pendapatan sepenuhnya.

Bront Palarae, Pelakon Lelaki Terbaik – Digital di Anugerah Televisyen Asia ke-25.

Bront berkata, sebagai sebuah ekosistem, semua harus memainkan peranan masing-masing dan industri kreatif di Malaysia adalah antara yang bertuah kerana kita mempunyai pelbagai insentif berbanding negara jiran. Mungkin faktor pasaran kita agak terhad, namun potensi sebenar kita masih belum diterokai sepenuhnya. Semua penggiat seni kreatif bertanggungjawab ke atas potensi diri sendiri.

“Studio-studio besar seperti Media Prima & Astro yang menjadi tiang seri industri harus lebih beranspirasi, dengan piawai yang lebih tinggi, barulah industri menjadi lebih kukuh dan mampu berkembang,” katanya.

Bront turut bersetuju dengan persepsi dan naratif yang mendakwa industri kreatif negara tertinggal dalam banyak segi.  Pengalaman 21 tahun dalam industri cukup meyakinkan Bront akan hal ini. Persoalan sekarang adalah kita sebagai industri, mahu berubah atau selesa dengan keadaan ini.

“Saya memilih untuk berubah, tapi tidak akan mampu merubah industri kerana perubahan industri harus bertitik tolak dari perubahan diri penggiat seni itu sendiri, secara individu. Untuk menjadi lebih baik, lebih efisyen, lebih beraspirasi dan lebih berani untuk berinovasi. Dari sudut kreatif, dari sudut pengurusan serta sudut pemasaran”, kata Bront yang turut membintangi filem terbitan Hollywood bertajuk Rajah.

Bront mengambil dunia animasi sebagai contoh. Bermula lebih kurang 20 tahun dari inisiatif MDeC, kini kita dapat melihat hasilnya. Bukan sahaja mengungguli carta filem box office tempatan, malah berjaya menerokai dan meninggalkan impak di peringkat antarabangsa. Jelas, kita tidak daif bakat dan keupayaan kreatif. Budaya kerja dan acuan permikiran yang menjadi penghalang dunia filem, kata pemenang anugerah trofi Pelakon Lelaki Terbaik – Digital di Anugerah Televisyen Asia ke-25 itu.

Bercakap mengenai bantuan kepada penggiat seni pula, pengarah filem Geran, Areel Abu Bakar menyatakan, pada awal pandemik melanda industri kreatif antara sektor paling terjejas dan kebanyakan pekerja ini bergantung dengan pendapatan harian. Bila mereka tidak bekerja maka kegagalan mencari sumber amat susah. Tetapi bantuan kepada industri datang selepas PKP 1 dengan bantuan DKD dalam untuk merancakkan sektor ini dan masih berjalan sampai sekarang dan harap akan berterusan jika urus tadbir yang betul.

Areel juga berkata, setakat hari ini beliau nampak usaha untuk ‘mengurangkan’ kekurangan industri kreatif sedang giat dilakukan. “Tetapi sejauh mana ia akan terus berlaku kita sebagai pemain industri kena memberi sokongan dan idea yang bernas untuk melestarikan reformasi industri kreatif ini,” katanya.

Areel ketika penggambaran filem Geran

“Industri kreatif perlu ada akta atau satu anjakkan tahap profesionalism yang perlu disahkan oleh kerajaan. Industri kreatif ini bukan sekadar industri hiburan tetapi suatu sumber menyumbang kepada ekonomi negara.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengangkat atau mengiktiraf industri ini penting seperti industri profesional lain.

“Dalam masa sama, pemain industri perlu membantu dan memberi sokongan serta menghasilkan karya yang baik supaya industri dipandang tinggi. Ini tugas berat untuk pengkarya serta penerbit filem atau drama TV,” katanya.

Kata Areel lagi, kekurangan ini juga berlaku kerana adanya golongan yang terlibat dalam industri kreatif yang bukan pemain sebenar. “Mereka ini tidak tahu pun pasal industri kreatif dan mengambil kesempatan untuk mencari dana serta mengunakan orang industri yang ingin berkarya.

“Pelabur dan penerbit satu pekerjaan yang berbeza. Di Malaysia kebanyakan pelabur itulah penerbit dan mereka tidak tahu hal penerbitan tapi jadi penerbit. Jadi, lahir karya yang mengecewakan dan menghalang standard untuk kita capai tahap untuk mengangkat industri kreatif yang profesional.

Areel bersama krew dan pelakon filem Geran

“Kalau semua orang boleh sesuka hati melacuri industri tanpa ilmu dan cuba-cuba menjadikan industri kita sebagai tempat mencari duit atau kepentingan lain, itu amat malang untuk industri kita,” katanya.

Pendedahan di sekolah serta mengembalikan  semangat cintakan seni dan budaya, akan mendidik anak muda untuk punya jati diri dan tidak melihat industri seni kreatif semata-mata tempat untuk mencari populariti. Industri ini mampu membawa identiti budaya kita ke luar dan menarik masyarakat luar ingin tahu apa yang ada dalam negara ini.

Areel berkata, secara tidak langsung industri kreatif ini sebenarnya memberi impak besar ke atas minat anak muda yang berilmu untuk bersama melestarikan industri ini serta menghasilkan karya berkualiti. Justeru, pendedahan yang meluas dari sekolah akan melahirkan pemain industri yang berilmu serta berbakat.

“Tanggungjawab yang besar sekali, kita perlu hasilkan karya  berkualiti serta bermanfaat dan sesuai dengan sosiobudaya negara kita. Barulah industri ini boleh dipanggil industri kreatif Malaysia. Bukan industri yang tiada identiti,” tegas Areel lagi.

Areel memegang trofi kemenangan Anugerah Filem Aksi di Festival Filem Asia New York

Katanya, banyak karya yang baik dari rakyat kita telah diangkat di luar sekali gus menunjukkan rakyat kita mempunyai potensi untuk pergi jauh. Mereka kebanyakkan bergerak sendiri, kerana kononnya filem mereka tidak boleh dijual tetapi akhirnya diiktiraf diluar negara. Perkara ini turut berlaku terhadap filem arahan dan terbitan Areel sendiri iaitu Geran.

Beliau membiayai sendiri penghasilan karya yang berjaya merangkul anugerah di Anugerah Filem Aksi di Festival Filem Asia New York itu. Kemudian, barulah pihak di Malaysia buka mata dan beri perhatian.

Biar apapun persepsi yang melanda industri kreatif ianya hanya persepsi. Industri ini punya potensi untuk pergi jauh. Yang menghalangnya pergi jauh hanya ilmu dan orang yang benar-benar pemain industri itu perlu menerajunya sendiri.

Penggiat dan pemain industri kreatif juga perlu mencari jalan dan solusi pantas tanpa mengharapkan bantuan dan pertolongan dari kerajaan pada setiap masa. Dengan ini, industri kreatif akan lebih pantas berkembang kerana pemain industri betul-betul ‘bermain’ dengan cemerlang memperjuangkan industri ini.

Sudah tentu, semua penggiat dan pemain industri kreatif mesti bergandingan bahu dengan kerajaan bersama-sama untuk memacu industri ini maju dan lebih berjaya di persada dunia.

 

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

99  −    =  92