Kerjasama ATM-KKM dipertingkat bagi hadapi gelombang ketiga COVID-19

 Kerjasama ATM-KKM dipertingkat bagi hadapi gelombang ketiga COVID-19

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang

KAPIT, 17 Mei — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM)  dalam menghadapi gelombang ketiga penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata ini merangkumi atur gerak logistik ATM bagi membawa bantuan perubatan dan peralatan kesihatan,  terutamanya penghantaran udara yang melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Ini merupakan komitmen ATM dalam tugas-tugas sekunder bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa jadi keutamaan,” katanya ketika melakukan lawatan singkat ke Hospital Medan ATM Kapit di Dewan Masyarakat Melayu, di sini semalam.

Mengenai penubuhan hospital medan di lokasi lain, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada keperluan semasa dan kemampuan sedia ada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

Mengenai Hospital Medan ATM Kapit tersebut yang didirikan pada 6 Mei lalu, beliau berkata kapasiti 40 katil yang sedia ada akan dipertingkat kepada 100 katil sekiranya keadaan memerlukan.

Hospital itu yang diatur gerak oleh Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Sarawak dan Hospital Kapit, dilengkapi kemudahan wad pesakit, x-ray, farmasi dan bilik rawatan kecemasan.

Bagaimanapun katanya buat masa ini hospital itu belum menawarkan perkhidmatan pembedahan.

“Keupayaan itu akan dipertingkat jika ada keperluan,” katanya.

Susulan penubuhan hospital medan itu, Hospital Kapit dapat menumpukan kepada rawatan kes COVID-19 di samping mempunyai kapasiti katil yang mencukupi bagi pesakit wabak tersebut dan kes-kes yang lebih serius.

Sejak beroperasi pada 10 Mei lepas, hospital medan itu telah menerima tujuh pesakit.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

67  +    =  77