Kerja memulihkan bekas lombong di Chini berjalan lancar

 Kerja memulihkan bekas lombong di Chini berjalan lancar

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) bersama Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin (kiri) ketika meninjau prestasi projek menanam pokok penutup bumi di kawasan bekas lombong di HS Chini.

PEKAN, 30 November 2021 – Usaha memulihkan kawasan bekas lombong seluas 200 hektar di Hutan Simpan Chini, di sini dengan aktiviti menanam pokok penutup bumi kini berjalan lancar mengikut jadual.


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah diberi tanggungjawab berkenaan dan usaha berkenaan dimulakan sejak kira-kira empat bulan lalu.


Katanya, selain pokok penutup bumi yang mudah tumbuh dan menjalar turut ditanam spesies Merawan Siput Jantan, Meranti Temak Nipis dan Batai yang dianggap sesuai tumbuh di kawasan terbabit.


“Saya difahamkan sebelum aktiviti menanam pokok penutup bumi dilakukan, proses meratakan kawasan dan melapiskan tanah hitam dan baja organik perlu dilakukan bertujuan untuk kesuburan pokok.


“Saya berharap kerja menanam pokok penutup bumi membabitkan kawasan bekas lombong dalam Hutan Simpan Chini seluas 200 hektar dapat berjalan lancar mengikut jadual,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan bagi meninjau prestasi projek menanam pokok penutup bumi di kawasan bekas lombong di HS Chini, di sini semalam.Turut sama Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Pengarah Tanah Dan Galian Pahang,Datuk Fadzilla Salleh.

Pokok penutup bumi ditanam di kawasan bekas lombong di Hutan Simpan Chini.


Wan Rosdy berkata, di kawasan bekas lombong turut dibina dengan benteng bagi mengelak berlaku aliran air hujan ke dalam Tasik Chini yang terkenal dikalangan pelancong tempatan dan luar negara.


“Kerajaan negeri terus komited agar aktiviti ini diteruskan dan siap mengikut jadual dalam usaha mengembalikan keindahan Tasik Chini seterusnya menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara,” katanya.


Sementara itu Mohd Hizamri berkata, dengan kerjasama baik diberikan kontraktor yang dilantik untuk menanam pokok penutup bumi usaha pemuliharaan kawasan bekas lombong di HS Chini dapat berjalan lancar.


“Kita berharap kawasan bekas lombong yang berada dalam HS Chini kembali hijau dengan pokok penutup bumi termasuk spesies Merawan Siput Jantan, Meranti Temak Nipis dan Batai.


“Jabatan akan terus memantau aktiviti menanam pokok yang dibahagikan kepada beberapa kawasan dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan,” katanya.


Beliau berkata, jabatan turut menggunakan tenaga masyarakat Orang Asli setempat untuk mengusahakan tapak semaian untuk menyemai beberapa spesies pokok untuk di tanam di HS Chini.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  6