Kerajaan tetapkan harga runcit maksimum minyak masak

 Kerajaan tetapkan harga runcit maksimum minyak masak

KUALA LUMPUR, 27 Jul — Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol berkuat kuasa 1 Ogos ini, dengan jaminan pengguna akan mendapat minyak masak di bawah harga RM30 untuk botol lima kilogram (kg).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit dalam kemasan botol lima kg pada harga RM29.70 sebotol, botol satu kg (RM6.70), dua kg (RM12.70) dan tiga kg (RM18.70).

Menurut KPDNHEP, kerajaan telah bersetuju melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (CPO) dengan harga minyak masak sawit botol lima kg diputuskan untuk dikawal supaya harganya tidak melebihi RM30 sebotol.

Kementerian itu berkata pelaksanaan harga kawalan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai komitmen kerajaan membantu rakyat meringankan kos sara hidup.

KPDNHEP memaklumkan ia juga bagi menangani isu kenaikan harga CPO di pasaran dunia yang mempengaruhi harga minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi di pasaran tempatan.

“Dengan pelaksanaan harga kawalan untuk minyak masak tulen, pengguna adalah dijamin untuk mendapatkan minyak masak tersebut dibawah harga RM30 bagi lima kg dan pada lain-lain kuantiti juga tanpa mengira kepada kedudukan harga sawit semasa,” demikian menurut kenyataan KPDNHEP pada Selasa.

KPDNHEP berkata penetapan harga runcit maksimum minyak masak itu dibuat di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2021 dengan turut mengambil kira pandangan agensi-agensi, industri dan trend harga di pasaran.

— BERNAMA

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *