Kerajaan terus bantu tingkat ekonomi Orang Asli

 Kerajaan terus bantu tingkat ekonomi Orang Asli

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun (tiga dari kiri) melepaskan belut pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Orang Asli Daerah Bera dan Penyerahan Projek Kolam Ternakan Belut Komersial membabit tiga peserta di Kampung Orang Asli Chuat.

BERA, 14 Disember 2021 – Kerajaan akan terus berusaha membantu masyarakat Orang Asli dalam usaha meningkatan pendapatan golongan terbabit melalui program pembangunan keusahawanan.


Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun berkata menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sentiasa mengutamakan pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli, Belanjawan 2022 golongan terbabit tidak dipinggirkan kerana sejumlah peruntukan yang besar telah diperuntukkan.


Menurutnya, agensi dibawah KPLB mempunyai peranan masing-masing dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli dalam semua aspek, bantuan ini mampu memberikan hasil yang dapat menambah pendapatan golongan terbabit dan keluar dari kelompok kemiskinan.


“Golongan terbabit diberi peluang untuk menceburi dalam pelbagai sektor perniagaan yang sesuai dengan minat golongan terbabit.


Menurutnya, antara perniagaan yang boleh diceburi masyarakat Orang Asli ialah bidang ternakan yang mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang terbabit.


“Saya berharap masyarakat Orang Asli dapat merebut peluang yang disediakan kerajaan dalam usaha menambah pendapatan keluarga selain dapat menyediakan pekerjaan kepada penduduk kampung.


“Orang Asli perlu berani untuk cuba menceburi bidang baharu yang mempunyai peluang cerah untuk berjaya maju,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun (dua dari kiri) menyerahkan replika cek projek ternakan belut kepada wakil penduduk pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Orang Asli Daerah Bera dan Penyerahan Projek Kolam Ternakan Belut Komersial di Kampung Orang Asli Chuat


Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Orang Asli Daerah Bera dan Penyerahan Projek Kolam Ternakan Belut Komersial membabit tiga peserta di Kampung Orang Asli Chuat, di sini hari ini.


Hadir sama Pengarah KPLB Pahang, Datuk Aruwan Abdul Aziz dan Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi. Ramlan berkata, 10 projek kolam ternakan belut komersial diperkenalkan di negeri ini membabitkan 20 peserta di Bera, Pekan dan Rompin dengan peruntukan RM180,000.


Katanya, projek ternakan belut di negeri ini merupakan projek perintis dan akan diperluaskan secara berperingkat selepas melihat prestasi yang dicapai.


Menurutnya, kerajaan akan melihat kemajuan projek pertama ini sebelum ditawarkan kepada penduduk di kampung lain di negeri ini, Jakoa Pahang akan memantau setiap projek diusahakan.


“Saya difahamkan projek ternakan belut di negeri ini mendapat sokongan daripada syarikat yang berpengalaman dalam bidang ternakan belut, syarikat terbabit turut bertindak membeli belut yang mencapai usia matang.


“Diperingkat awal ini belut berkenaan untuk pasaran tempatan sahaja, permintaan belut di negeri begitu menggalakan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

57  +    =  58