• Sunday, 20 June 2021, 2:28 pm

Kerajaan tak halang kebebasan bersuara anak muda – PN Johor

 Kerajaan tak halang kebebasan bersuara anak muda – PN Johor

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor menegaskan, kerajaan sama sekali tidak pernah menghalang mahupun menyekat kebebasan bersuara rakyat termasuk anak muda di negara ini tetapi usahlah sehingga menimbulkan provokasi melampau dan mengganggu ketenteraman awam.

Setiausahanya, YB Dato’ Dr Sahruddin Haji Jamal berkata, kesungguhan kerajaan dalam mengiktiraf kumpulan anak muda di negara ini juga bakal diterjemahkan dengan penubuhan Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada Perdana Menteri tidak lama lagi.

Mengulas kejadian sekumpulan individu terlibat dalam perhimpunan yang turut membakar suar dan menaikkan kain rentang berbentuk provokatif di Batu Pahat, baru-baru ini, beliau berkata amat malang sekali apabila kudrat dan semangat kumpulan anak muda ini dimanipulasikan pihak tertentu untuk melakukan perbuatan yang melanggar batas perundangan.

“Tambahan pula, negara baru sahaja menyambut Hari Belia Negara 2021. Kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan dan sumbangan belia dalam segala aspek termasuklah ekonomi, pendidikan, sosial mahupun politik,” katanya dalam satu kenyataan kepada Wacana.my, hari ini.

Seperti yang dilaporkan oleh media, pada awalnya seramai 20 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden ini. Bagaimanapun, 13 individu kemudiannya telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dr Sahruddin berkata, meskipun terdapat dakwaan bahawa tindakan individu yang yang terlibat adalah untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan, insiden ini tidak sepatutnya berlaku terutama ketika umat Islam sedang menyambut Aidilfitri.

Beliau menegaskan, sebagai rakyat di bumi bertuah ini, lima prinsip Rukun Negara perlu dijunjung dan dipegang erat. Sebarang ketidakpuasan hati tidak sewajarnya dizahirkan dengan tindakan yang menyalahi undang-undang.

Justeru, katanya, PN Negeri Johor menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut dan berharap siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti sekiranya wujud ‘dalang’ kepada perbuatan ini.

“Tindakan pihak polis menahan 20 individu terbabit sebelum ini, adalah untuk mengambil keterangan dan membantu siasatan. Berikanlah ruang sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Sekiranya benar wujudnya ‘dalang’ kepada perbuatan ini, Perikatan Nasional Negeri Johor berharap pihak polis akan dapat segera membawa ‘dalang’ tersebut ke muka pengadilan,” katanya.

Dr Sahruddin turut meminta semua pihak memanfaatkan kebijakan yang dimiliki untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam merencanakan pelbagai perancangan dan tindakan yang dapat menyelesaikan isu melibatkan masyarakat di akar umbi.

“Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri sentiasa komited dalam memastikan setiap agenda dan dasar memberi penumpuan terhadap pemulihan ekonomi negara dan kemaslahatan rakyat.

“Marilah kita bersama-sama kerajaan dalam mengharungi dan mendepani cabaran pandemik COVID-19 yang telah memberikan implikasi besar terhadap negara dan rakyat sejak tahun lalu,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *