Kerajaan Sabah salur RM2 juta baik pulih Wisma Radio RTM

 Kerajaan Sabah salur RM2 juta baik pulih Wisma Radio RTM

–fotoBERNAMA (2021)

KOTA KINABALU, 1 April — Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menyokong usaha Persatuan Alumni Radio Sabah (RASA) untuk membaik pulih tapak dan bangunan lama Wisma Radio Sabah sebagai khazanah budaya negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata bangunan berkenaan yang terletak di KM2.4 Jalan Tuaran itu perlu dipelihara kerana mempunyai nilai sejarah yang perlu dilihat oleh generasi akan datang dan khususnya rakyat di Sabah.

“Bangunan (Wisma Radio Sabah) itu juga pernah menjadi pejabat Suruhanjaya Cobbold ketika mereka mahu menghimpunkan suara rakyat Sabah untuk menyertai Malaysia pada ketika itu. Selain itu, siaran Radio Televsiyen Malaysia (RTM) juga mula disiarkan dari bangunan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran sambutan ulang tahun RTM ke-75 peringkat negeri di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kepayan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata beliau turut berasa bangga melihat RTM yang kini jauh lebih maju dengan menggunakan teknologi dan aset terkini berbanding ketika beliau menjadi tenaga kerja di RTM Sabah pada 1976.

“Setahun lebih juga saya di RTM Sabah…semua peralatan ketika itu dijalankan secara manual berbanding pada masa ini yang hanya perlu menekan butang pada sistem sebelum sesebuah lagu atau program itu disiarkan.

“Saya amat bersyukur dan gembira kerana RTM sudah jauh maju ke depan dan hari ini kita menyambut ulang tahun ke-75 dan ia bergerak mengikut keadaan semasa sekarang ini. RTM juga sentiasa memenuhi selera dan aspirasi rakyat dalam menerima maklumat daripada pihak kerajaan,” katanya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  3  =