Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Kerajaan rangka Pelan Pemulihan Negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR, 13 Jun: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata bahawa kerajaan kini dalam proses merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai langkah untuk membawa negara keluar daripada pandemik pada satu peringkat yang munasabah.
Menurut beliau, pelan pemulihan tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu dari sekarang.
“Sudah sampai masa kita nak tetapkan satu strategi keluar atau pelan pemulihan negara untuk kita keluar daripada masalah ini,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Johor, Bandar Tun Razak dan disertai Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, hari ini.
“Tetapi, ini adalah cabaran yang besar bergantung kepada kerjasama dan sokongan semua pihak,” tambah beliau.
Menurut Muhyiddin, pelan tersebut dirangka berdasarkan kepada data sains, pengurusan COVID-19, ekonomi dan program vaksinasi yang kini pesat dilaksanakan.
Memetik laporan Bernama, Muhyiddin menjelaskan bahawa beberapa menteri utama yang terlibat sudahpun mula membentangkan pelan tersebut secara kasar kepada beliau, namun belum diperhalusi.
Dalam pada itu Muhyiddin turut berkata, kerajaan akan terus menyalurkan makluman kepada rakyat mengenai perkembangan semasa berkenaan status pengurusan pandemik di negara ini.
“Ini akan kita teliti. Akan ada fasa satu, fasa dua … apa-apa keputusan dibuat berdasarkan kepada data.
“Kita kena bantu Kementerian Kesihatan menguruskan penjagaan kesihatan dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan kita tak runtuh dengan hospital, kemudahan katil, ventilator, kakitangan hospital kita mencukupi,” katanya.