Kerajaan perlu sedia peruntukan bangunkan vaksin, pastikan bekalan cukup

 Kerajaan perlu sedia peruntukan bangunkan vaksin, pastikan bekalan cukup

Che Zakaria (tengah) menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG, 29 Ogos –- Kerajaan perlu menyediakan satu peruntukan khas bagi membangunkan vaksin sendiri kerana ia merupakan satu keperluan ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, bukan sahaja peruntukan khas itu wajar disediakan, malah sudah sampai masanya Malaysia menghasilkan vaksin sendiri yang dijamin selamat, serasi dan sesuai untuk rakyatnya.

“Jika kita membangunkan vaksin sendiri ini secara tidak langsung akan menjimatkan kos import vaksin luar selain meyakinkan rakyat kita sendiri untuk mengambil vaksin.

“Usaha ini juga akan menjamin bekalan vaksin yang cukup untuk keperluan negara, malah boleh dieksport jika berlebihan. Selain itu, kita tidak tahu sama ada bekalan vaksin import cukup atau tidak pada masa akan datang.

“Secara tidak langsung ini akan menjadi satu persediaan bagi Malaysia jika berlaku apa-apa terhadap bekalan vaksin dunia,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada petugas barisan hadapan di Kampung Orang Asli Kuala Masai, di sini hari ini.

Kampung tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 25 Ogos lalu hingga 8 September ini selepas lebih 200 masyarakat Orang Asli di kampung itu didapati positif COVID-19.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia boleh mengeluarkan vaksin sendiri seperti Thailand kerana COVID-19 akan menjadi endemik dan berada di persekitaran seperti denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, Malaysia boleh merujuk negara-negara Asia seperti China, Thailand dan India yang menghasilkan vaksin sendiri atau mendapat bimbingan negara lain yang sudah berjaya menghasilkannya.

Hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok juga akan segera tercapai dengan adanya bekalan vaksin sendiri.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  7  =  1