Kerajaan perlu jelaskan keistimewaan diberi kepada Najib

 Kerajaan perlu jelaskan keistimewaan diberi kepada Najib

JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu menjelaskan keistimewaan yang diberi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya Rabu lalu sebulat suara mengekalkan sabitan semua kesalahannya sebelum ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mohd. Solihan Badri mempersoalkan sama ada keistimewaan tersebut diberi mengikut lunas undang-undang.

“Hukuman yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu adalah kekal melainkan rayuan di atas sabitan kesalahan dan hukuman dibenarkan ataupun keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, diubah atau dipinda.

“Justeru, dalam kes Najib sekarang, rakyat memohon kerajaan membuat penjelasan secara rasmi bagi merungkai persoalan dan kekeliruan tersebut serta memastikan keistimewaan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Pekan itu mengikut lunas perundangan.

“Untuk itu, mana-mana keistimewaan yang melibatkan Najib harus dipastikan sama ada ia diberi berdasarkan budi bicara, mengenang jasa dan mengikut kuasa pentadbiran, ataupun menggunakan budi bicara berdasarka kuasa undang-undang yang menerusi akta ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri berkata, kerajaan juga wajar menyemak hak Najib yang bebas bergerak dalam negara dan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen. 

Perkara itu perlu diperjelaskan selain soal keistimewaan untuk menangguhkan hukuman dan memiliki pasport antarabangsa yang dinikmati ketika ini.

“Semua ini mesti dibezakan sama ada ia satu keistimewaan ataupun hak mutlak yang dijamin atau dilindungi undang-undang.

“Jika keistimewaan kepada Najib diberikan tanpa menggunakan kuasa undang-undang, maka keistimewaan itu mesti ditamatkan serta-merta kerana ia bakal memberi pelbagai impak buruk. 

“Antaranya, mencetuskan persepsi buruk terhadap kewibawaan sistem tadbir urus dan perundangan negara, menjejaskan institusi kehakiman dan Parlimen serta mencalarkan imej negara dan politik Malaysia pada kaca mata rakyat sendiri mahupun masyarakat antarabangsa,” katanya.

Mohd. Solihan berkata, kes Najib mendapat liputan media di seluruh dunia dan situasi itu memberi impak besar terhadap imej serta kewibawaan Malaysia, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur dan sokongan antarabangsa terhadap negara.

Sehubungan itu, kerajaan mesti menamatkan isu keistimewaan dalam kes Najib dengan telus, tegas dan serta-merta bagi mengelakkan persepsi menjadi lebih buruk.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

39  −    =  30