Kerajaan, pembangkang meterai perjanjian kerjasama ‘dwi-partisan’

 Kerajaan, pembangkang meterai perjanjian kerjasama ‘dwi-partisan’

(Gambar fail) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama pemimpin pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menandatangani MoU sambil disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais pada Isnin

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakar sejarah hari ini apabila  julung kali memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Ismail Sabri berkata, MoU yang ditandatangani oleh kerajaan dan pembangkang itu adalah untuk membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

“Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata memorandum tersebut adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

“Memorandum ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

 

Kerajaan dan Pakatan Harapan menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, komitmen bersama kedua-dua pihak bagi mengukuhkan kerjasama rentas parti.

 

Beliau turut merakam setinggi penghargaan kepada ahli-ahli Parlimen yang telah membulatkan tekad, mengetepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ismail Sabri yang mengumumkan perkara itu berkata, tawaran ini bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

 

 

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  −    =  53