Kerajaan Negeri Melaka runtuh, kerajaan sementara harus teruskan pentadbiran

 Kerajaan Negeri Melaka runtuh, kerajaan sementara harus teruskan pentadbiran

Kompleks DUN Melaka

SEBUAH lagi kerajaan negeri runtuh akibat  perpecahan dalam parti yang memerintah. Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menarik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri menyebabkan kerajaan hilang majoriti untuk  terus memerintah. Lanjutan daripada itu, Yang Dipertua telah memperkenankan permohonan Ketua Menteri untuk membubarkan DUN pada 5.10.2021. Pembubaran DUN bukanlah perkara asing kerana Perlembagaan Negeri  Melaka jelas memperuntukan perkara tersebut. Berdasarkan kepada undang-undang sedia ada, pilihan raya bagi DUN Melaka harus diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran.

Dengan pembubaran DUN tersebut, kerajaan negeri juga akan terbubar di mana Ketua Menteri dan Ahli-ahli Exco akan hilang jawatan. Namun pentadbiran negeri harus diteruskan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Bagi memastikan kesinambungan pentadbiran, kerajaan sementara atau ’caretaker government’ harus diwujudkan. Amalan di Malaysia adalah Ketua Menteri dan beberapa atau keseluruhan ahli exco akan terus menjalankan tugas pentadbiran di atas kapasiti sebagai kerajaan sementara.

Undang-undang di Malaysia, sama ada di peringkat negeri ataupun persekutuan tidak memperuntukkan secara jelas berkaitan dengan kuasa dan perjalanan  kerajaan sementara walaupun Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan memberi ruang agar kerajaan sementara ditubuhkan apabila Dewan Rakyat dibubarkan.

Oleh kerana tiada undang-undang khusus, Malaysia mengguna pakai amalan atau konvensyen yang membenarkan anggota Kabinet sedia ada untuk meneruskan pentadbiran sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas pilihan raya diadakan. Fungsi kerajaan sementara adalah tertakluk kepada beberapa amalan yang harus dipatuhi oleh Kabinet sementara tersebut.

Di antara amalan yang sering diletakkan di atas  kerajaan sementara  adalah kerajaan ini tidak boleh mewujudkan apa-apa undang-undang, peraturan atau polisi baharu dalam waktu sementara ini. Kerajaan sementara juga tidak boleh membuat apa-apa komitmen atau perjanjian yang boleh mengikat kerajaan yang akan datang. Urusan kewangan kerajaan hanya sekadar untuk tujuan pentadbiran dan tidak akan membebankan sistem kewangan bagi kerajaan yang akan datang. Namun sekiranya terdapat keperluan mendesak kerajaan sementara dibolehkan untuk berbelanja untuk kepentingan rakyat, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Negara pada 17.8.2021.

Kerajaan sementara bukanlah perkara asing di Malaysia. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama pernah melantik Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri dalam tahun 1959 bagi membolehkan Tunku mengetuai persiapan untuk pilihan raya umum dalam tahun yang sama. Walaupun Tun Razak mempunyai kuasa penuh sebagai Perdana Menteri namun masyarakat maklum bahawa beliau adalah perdana menteri sementara sehingga Tunku Abdul Rahman kembali membentuk kerajaan baharu.

Pakistan adalah di antara negara yang memberi penekanan khusus ke atas integriti kerajaan sementara. Perlembagaan negara tersebut memperuntukkan bahawa dewan perundangan tidak akan dibubarkan selagi kerajaan sementara tidak dibentuk. Perlembagaan Pakistan juga memperuntukkan bahawa perdana menteri dan ketua pembangkang harus bersetuju dengan keahlian kerajaan sementara.

Peruntukan yang sama juga terpakai bagi dewan-dewan perundangan di peringkat negeri-negeri di Pakistan. Ketua Hakim biasanya dilantik sebagai perdana menteri sementara dengan lain-lain ahli yang bukannya terdiri daripada bakal-bakal calon bagi pilihan raya yang akan datang. Kaedah ini adalah untuk memastikan bahawa kerajaan sementara tidak digunakan bagi kepentingan politik atau membantu pihak-pihak tertentu di dalam pilihan raya. Di United Kingdom, walaupun tidak terdapat undang-undang secara khusus, kerajaan sementara adalah tertakluk kepada Garis Panduan Kabinet (Cabinet Manual) yang dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak. Australia juga mempunyai Konvensyen Bertulis (Written Convention) yang menjadi pegangan semua pihak di dalam pembentukan dan perjalanan kerajaan sementara.

Ketiadaan  undang-undang atau polisi yang jelas secara bertulis akan mewujudkan keadaan yang samar bagi masa selepas dewan perundangan dibubarkan dan kerajaan baharu belum ditubuhkan. Kesamaran ini mendedahkan pentadbiran kerajaan kepada kemungkinan salah guna kuasa dan lain-lain isu yang melibatkan integriti dalam pengurusan negeri. Keadaan ini lebih ketara apabila kerajaan tumbang kerana  sokongan ahli dewan terhadap ketua menteri ditarik atas alasan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri. Sekiranya Ketua Menteri yang sama terus menjalankan tugas tanpa mekanisme semak dan imbang oleh ahli-ahli DUN yang lain, pelbagai persepsi negatif akan timbul yang boleh menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat keseluruhannya.

Walaupun undang-undang menetapkan bahawa pilihan raya negeri harus diadakan dalam masa 60 hari, namun ancaman COVID-19 masih lagi menghalang pilihan raya negeri untuk diadakan dalam masa terdekat. Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong  telah mengisytiharkan darurat di keseluruhan Negeri Sarawak, dua kawasan Parlimen dan dua kawasan DUN bagi menangguhkan pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil bagi kawasan-kawasan tersebut ke suatu masa yang lebih selamat.

Mungkin perkara yang sama akan dilakukan untuk negeri Melaka. Sekiranya ini berlaku, kerajaan sementara bagi negeri Melaka akan berlanjutan. Pergelutan politik akan menjadi lebih agresif dan boleh menimbulkan isu keselamatan awam.

Kawalan, peraturan dan undang-undang berkaitan kerajaan sementara adalah amat  penting bagi memastikan integriti dan amalan demokrasi yang utuh di dalam pentadbrian politik di negara ini. Sebab itulah Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah mencadangkan agar suatu undang-undang khusus berkaitan kerajaan sementara atau caretaker government  diwujudkan.

 

Amerul Muner Mohammad merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC

 

Amerul Muner Mohammad

Amerul@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *