Kerajaan komited proses perundangan keatas EU, pertahan industri sawit negara

 Kerajaan komited proses perundangan keatas EU, pertahan industri sawit negara

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Kerajaan memberikan komitmen terhadap proses perundangan ke atas Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu antiminyak sawit bagi memastikan kepentingan industri sawit negara merangkumi pekebun kecil sawit sentiasa dijaga dan diutamakan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata komitmen itu akan terus menjadi keutamaan kementeriannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata satu sesi konsultasi telah diadakan secara maya bersama EU pada 17 Mac lepas berhubung tindakan undang-undang ke atas kesatuan berkenaan berkaitan isu yang dikaitkan dengan diskriminasi kepada industri sawit negara.

Katanya, pelaksanaan sesi tersebut adalah susulan permohonan kerajaan untuk menjalani sesi konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah dibuat pada 15 Januari 2021.

“Sesi konsultasi ini antara lain adalah platform bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut berhubung tindakan EU terhadap pelaksanaan ‘Delegated Regulation’ di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II (EU RED II).

“Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha ke arah penyelesaian kepada isu-isu yang dilihat sebagai diskriminasi ke atas minyak sawit negara yang dibangkitkan oleh Malaysia,” katanya.

Delegasi Malaysia diwakili oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan agensi lain yang berkaitan.

Sesi konsultasi tersebut diketuai oleh Mohd Khairuddin dan turut dihadiri wakil dari Indonesia dan Colombia sebagai negara pemerhati.

“Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan oleh pihak EU sepanjang sesi konsultasi diadakan.

“Sebarang tindakan susulan akan diambil sewajarnya selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO,” tambahnya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  1